PU Amin meninjau runtuhan di Gaziantep, Turkiye
PU Amin meninjau runtuhan di Gaziantep, Turkiye
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pendakwah bebas, PU Amin mendedahkan dia dan pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Iman Care berdepan dengan pengalaman menakutkan ketika menjayakan Misi Bantuan Gempa Bumi di Gaziantep, Turkiye.

Menurut PU Amin atau nama sebenar Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim, 31, dalam hantarannya di Instagram, dia dapat berasakan pengalaman gegaran gempa bumi ketika meninjau runtuhan di Gaziantep yang juga lokasi gempa bumi terbesar dalam sejarah.

"Update (perkembangan terkini) semasa buat semua yang bertanya. Tak sangka gegaran ini kembali lagi. Rasa terbuai, rasa berombak. Itulah situasinya.

"Dapat rasa pengalaman gegaran gempa bumi. Rasa takut tu Tuhan je tahu. Semua berlari keluar. Cari tempat selamat," tulisnya.

Dalam perkongsiannya lagi, PU Amin berkata, malam semalam adalah gegaran kedua yang terbesar.

"Team (pasukan) kami sempat selamatkan diri. Moga Allah lindungi kita semua.

"Mohon doa semua agar kejadian ini tak berulang lagi dan semoga Misi Gempa Bumi Iman Care ini berjaya. Pada Allah kita berserah," tulisnya lagi.

Perkongsian PU Amin itu turut mendapat maklum balas dari pengikutnya yang mendoakan keselamatannya bersama pasukan Iman Care itu.

"Semoga semuanya dilindungi dari bahaya dan selamat dan dipermudahkan segala urusan di sana. Amin," komen pengikutnya.

"Semoga ustaz dan team dalam peliharaan Allah S.W.T," komen seorang lagi pengikut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 2:23 PM