Tangkap layar perkongsian Aeril Zafrel di Instagram.
Tangkap layar perkongsian Aeril Zafrel di Instagram.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Aeril Zafrel berkongsi berita gembira mengenai kehamilan keempat isterinya yang juga pelakon, Wawa Zainal.

Dalam hantarannya di Instagram, Aeril mengucapkan syukur kerana doanya kini sudah termakbul. "Alhamdulillah Ya Allah. Doa dimakbulkan, dapat bayi nombor empat. Tinggal nak satu saja lagi," tulisnya diiringi emoji ketawa.

Dalam hantaran sama, Aeril juga memohon doa daripada pengikut-pengikutnya di platform media sosial itu.

"Doakan semoga dipermudahkan urusan isteri saya bersalin tak lama lagi. Doa yang baik-baik ya. Terima kasih semua.

"Semoga Wawa sentiasa dalam lindungan-Nya. Terima kasih sayang. Jangan 'tutup kilang' dulu ya," tulisnya.

Aeril juga memuat naik video pendek yang disunting memaparkan gambar imbasan bayi dalam kandungan isterinya dan juga video aksi Wawa yang sedang memegang bahagian perutnya.

Sementara itu, Wawa berkongsi hantaran Aeril itu ke Instagram Story dan menulis mengucap syukur. "Alhamdulillah," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 8:55 PM