ZED Zaidi.
ZED Zaidi.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Jangan terjebak dengan cinta lokasi. Kita sebenarnya akan susahkan diri sendiri dan orang lain.

"Set penggambaran bukan tempat untuk seseorang pelakon bermain cinta sebaliknya tumpukan kepada niat untuk mencari rezeki."

Demikian kata Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkenaan isu yang sinonim dalam industri ini.

Zed berkata, teguran ini diberikan kepada semua pelakon bagi mengelakkan masalah kepada syarikat produksi.

Perbuatan tidak profesional ini bukan saja mencalarkan imej pekerja filem atau drama, bahkan mendatangkan kecaman andai membabitkan hubungan terlarang antara suami atau isteri orang.

"Semua harus bersikap profesional dan berfikir panjang dalam karier. Jangan jadikan method (kaedah) atau menghayati watak sebagai alasan kerana perkara yang tak diingini itu boleh berlaku andai pelakon sendiri terbawa-bawa perasaan.

"Ia akan bawa kesan terutama pandangan negatif masyarakat terhadap industri," katanya.

Zed bagaimanapun berkata, Seniman tidak mempunyai kuasa untuk campur tangan terutama apabila ada dalam kalangan penggiat seni meminta aktres itu digam stesen televisyen.

"Bagi saya, andai isu membawa hingga kepada kes mahkamah, barulah persatuan boleh ambil tindakan mengikut garis panduan yang sepatutnya.

"Tindakan hanya boleh diambil selepas mahkamah tentukan seseorang itu bersalah," kata Zed ketika diminta mengulas mengenai isu kontroversi yang diperkatakan baru-baru ini membabitkan pelakon wanita yang menjalinkan hubungan cinta bersama suami orang.

Mengulas lanjut, Zed berkata, seseorang selebriti dinasihatkan untuk tidak berumah di tepi pantai sekiranya takut dilambung ombak.

"Apabila timbul isu membabitkan mana-mana rumah tangga, seseorang artis wajar berkomunikasi dengan baik untuk menyelesaikan masalah berbangkit.

"Apabila isu babitkan sesebuah keluarga, selebriti yang terbabit kena tahu cara untuk memberi reaksi. "Biasanya apabila seseorang artis itu kurang arif soal ini, mereka cenderung memberi reaksi menggunakan emosi," katanya.

Bagi menyelesaikan masalah ini, Zed merancang untuk mengadakan program mengasah kemahiran berkomunikasi dalam kalangan pelakon melalui kerjasama dengan Kementerian Kemahiran Komunikasi dan Digital.

"Seniman akan memohon kementerian untuk bersama-sama menggariskan panduan berhubung apa boleh dan tak supaya dijadikan rujukan semua artis tempatan.

"Ia supaya dapat melahirkan lebih ramai bakat baru yang bijak berkomunikasi dan berkebolehan berdepan sesuatu isu dengan bijak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 1:32 PM