ZED Zaidi ketika sesi temuramah di Majlis Pelancaran Astana Event Lounge di Onecity Skypark, Subang. FOTO Genes Gulitah
ZED Zaidi ketika sesi temuramah di Majlis Pelancaran Astana Event Lounge di Onecity Skypark, Subang. FOTO Genes Gulitah
Ridzuan Abdul Rahman


Subang Jaya: "Saya tidak serik dan akan terus lantang bersuara seperti biasa. Apa yang berlaku (didakwa) di mahkamah adalah pengalaman terbaik untuk saya menjadi manusia lebih baik dan terus berjuang membela nasib orang ramai."

Demikian kata pelakon Zed Zaidi mengulas pengalamannya berdepan pertuduhan kes sebar berita palsu di mahkamah dua tahun lalu.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia ini memaklumkan, dia juga merasa duduk di lokap Mahkamah Majistret Sepang sementara menanti pembebasan ketika didakwa atas kes berkenaan. "Bagaimanapun saya tidak gentar dan tidak serik untuk terus memperjuangkan isu membabitkan pekerja seni dan juga masyarakat.

"Saya sempatlah merasa duduk di lokap dalam tujuh jam bersama-sama empat orang lagi yang didakwa di bawah akta yang sama.

"Sempatlah kenal dengan ramai tahanan yang lain. Itu pengalaman yang sangat berharga walaupun sekadar lokap dan bukannya penjara sebenar," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran ruang acara, Astana Event Lounge di One City, hari ini.

Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, dia didakwa di atas pertuduhan kes sebar berita palsu berkenaan virus Covid-19 di Mahkamah Majistret Sepang.

"Alhamdulillah... saya menang kes ini. Cuma ia tidak dihebohkan kerana ketika itu negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya mula didakwa pada Januari dan proses bicara pula pada Februari, manakala pada 15 September 2020 saya menang kes dan dibebaskan daripada pertuduhan.

"Saya bersyukur sebab selama ini kita berada di pihak yang benar. Apa yang dibuat sebelum ini adalah semata-mata untuk menjatuhkan imej saya sebagai presiden Seniman dan berunsur politik," katanya.

Terdahulu, Zed didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan kerana menyebar berita palsu dalam laman sosial Twitter berkaitan virus Covid-19 pada Januari 2020.

Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan majistret A Akhiruddin @ Boy Acho.

Zed diwakili oleh lima peguam antaranya Mohd Fadly Hashim dan Zamri Idrus. Zed serta tiga yang lain dituduh membuat kenyataan mengenai wabak Covid-19 di media sosial sehingga boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang ramai.

Zed didakwa berkongsi berita palsu berbunyi: 'Breaking News: All countries except Malaysia - All countries has banned Chinese tourist except Malaysia' yang dimuat naik menerusi akaun Facebook dan Twitternya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Zed pada 27 Januari 2020, pada jam 12.51 tengah hari dan dikesan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kira-kira pada jam 10.30 pagi dua hari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 5:24 PM