Zed (dua dari kiri) bersama Hafiz (kiri) membuat laporan polis. FOTO HM
Zed (dua dari kiri) bersama Hafiz (kiri) membuat laporan polis. FOTO HM
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) tetap membuat laporan polis terhadap stesen TV Singapura, Mediacorp 5 dan lima selebriti negara itu iaitu Najip Ali, Vernetta Lopez, Sam See, Rishi Budhrani dan Mike Kassim hari ini kerana mempersenda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi program berjudul OK Chope! minggu lalu.

Presidennya, Rozaidi Abd Jamil atau Zed Zaidi berkata, walaupun Mediacorp 5 dan Najip sudah membuat permohonan maaf kelmarin, laporan polis tetap dibuat bagi memberi pengajaran kepada mana-mana pihak luar supaya menghormati Perdana Menteri Malaysia.

"Kami memang ada menerima permohonan maaf daripada Mediacorp 5 dan Najip tetapi itu tidak mencukupi kerana empat lagi selebriti terbabit tidak berbuat demikian.

"Ini dianggap tidak adil kerana permohonan maaf seolah-olah dibuat sambil lewa memandangkan Najip terbabit sebagai juri tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 terbitan Astro," katanya.

Laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini oleh Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah, hari ini.

Menurut Zed, walaupun tindakannya dianggap tidak popular, Seniman perlu memainkan peranan menjaga kepentingan negara daripada dipermainkan segelintir pihak terutamanya artis negara jiran yang mencari rezeki di Malaysia.

"Kita perlu bertindak tegas terhadap artis luar yang tidak sensitif dengan budaya dan sensitiviti masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Zed menyarankan mana-mana artis yang ‘mencari makan’ di Malaysia perlu menghormati undang-undang negara ini dan bukan melanggarnya sesuka hati.

"Seniman akan bertindak jika ada pihak sewenang-wenangnya melanggar peraturan. Saya tidak hairan berdepan kecaman mana-mana pihak dengan tindakan yang dibuat.

"Saya bukan nak cari pengaruh kerana apabila pihak luar menghentam Perdana Menteri, bermakna mereka turut menghentam maruah kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2017 @ 6:13 PM