Soo Wincci (dua dari kanan) ketika menyertai program di Masjid Al Mursyid Gurung, Pauh, Perlis, semalam.
Soo Wincci (dua dari kanan) ketika menyertai program di Masjid Al Mursyid Gurung, Pauh, Perlis, semalam.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: "Selama ini saya sering takut untuk ke masjid kerana selalu orang cakap bukan Islam dilarang masuk. Di Kuala Lumpur sendiri pun saya tak pernah masuk mana-mana masjid," kata pelakon dan penyanyi, Dr Soo Wincci, 37, yang mengakui tenang dan tersentuh apabila dapat menjejakkan kaki di masjid ketika menghadiri program di Masjid Al Mursyid Gurung, Pauh, Perlis, semalam.

Wincci berkata, hatinya cukup tenang dapat berkumpul dengan ramai hadirin berbeza agama dalam majlis ceramah berhubung topik keharmonian itu.

"Saya sebenarnya sangat tersentuh apabila dijemput menjadi panel ceramah itu. Banyak topik yang dikupas mengenai keharmonian negara dan lebih 100 hadir dari pelbagai latar belakang agama.

"Sesi selama lebih tiga jam itu begitu intim. Ia sekali gus menepis pandangan saya terhadap larangan masuk masjid sebelum ini kerana kehadiran saya dan penceramah berbangsa India ke sana sangat dialu-alukan," katanya.

Bekas Miss World Malaysia 2008 itu turut bersyukur dapat menimba banyak ilmu berkenaan Islam di program itu.

"Saya gembira apabila ustaz yang terbabit pun berfikiran terbuka dan moden. Mereka memberi kami jawapan yang tepat untuk pelbagai persoalan kami ingin tahu. Program itu sememangnya satu perbincangan yang cukup bagus dan membuka mata. Ia pengalaman pertama yang sangat berharga untuk saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 12:31 PM