Wincci bersama John.
Wincci bersama John.
Oleh Georgie Joseph

 

PENYANYI Dr. Soo Wincci atau Wincci, 35, berkongsi keterujaan apabila dapat bekerjasama dengan pemenang Latin Grammy iaitu penerbit muzik, John Gibbe dan Luca Ortega untuk menghasilkan lagu baharu.

Menurut Wincci, kerjasama itu sekali gus menjadi titik mula buatnya mengintai peluang untuk mencuba menembusi pasaran muzik latin.

"Saya sangat teruja dapat khidmat John dan Luca bagi single baharu untuk saya membuat kemunculan semula pada Ogos ini. Lagu ini masih dalam proses rakaman dan ia hasil ciptaan saya sepenuhnya.

"Istimewanya, John yang juga penyelia saya sewaktu menuntut di Berkeley College of Music sudi turut serta. Ia satu penghormatan terbesar memandangkan dia sendiri nama yang cukup disegani dalam pasaran muzik latin.

"Saya berharap kerjasama ini akan menjadi titik permulaan untuk membawa nama saya di persada muzik di sana pula. Semestinya saya menaruh harapan tinggi ingin merealisasikan impian ini suatu hari nanti," katanya.

Berkongsi lanjut, Wincci sedikit ralat apabila tidak dapat masuk studio rakaman bersama John dan Luca di Sepanyol bagi menyiapkan lagu berkenaan.

Bagaimanapun, pemenang Miss World Malaysia 2008 itu lega kemajuan teknologi sekarang memudahkan kerja rakaman meskipun mereka berjauhan.

"Ikut perancangan, saya sepatutnya kembali ke Sepanyol bagi merakamkan lagu ini di studio bersama mereka. Disebabkan situasi pandemik sekarang dan sempadan negara belum dibuka, kami tukar rakaman kepada produksi dalam talian.

"Namun, muzik video akan dibuat bersama produksi dari United Kingdom pada Julai nanti. Saya memang mahukan lagu ini dipasarkan secara meluas di sekitar Asia Tenggara," katanya.

Wincci bagaimanapun masih berahsia mengenai judul lagunya yang menggunakan lirik bahasa Malaysia dan Inggeris itu.

Untuk rekod, John pernah memenangi trofi Album Alternatif Terbaik menerusi album berjudul Hombre Invisible di Anugerah Grammy Latin 2010. Manakala, Luca sudah banyak kali tercalon dalam acara berprestij terbabit.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2020 @ 5:22 PM