Soo Wincci
Soo Wincci
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Artis serba boleh, Profesor Madya Dr Soo Wincci, 37, teruja kini bergelar penjawat awam selepas memulakan tugas sebagai pensyarah serta pengkaji kedoktoran di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) sejak 1 April lalu.

Soo Wincci atau Wincci berazam menggalas tanggungjawab itu termasuk misi merapatkan jurang pendidikan pelajar jurusan itu dengan industri kreatif dari luar negara.

"Sebenarnya saya fikir tak akan lulus temu duga kerja di UiTM kerana saya pun memang masih terikat dengan komitmen kerja di Sepanyol. Namun, bila diberitahu dapat, memang seronok bukan kepalang.

"Bergelar penjawat awam bukan satu tugas mudah tapi saya sudah susun pelbagai agenda untuk kerjaya baharu ini. Saya bukan sekadar mahu mendidik tapi berazam buka jalan untuk pelajar timba ilmu dari luar.

"Saya ingin menggunakan semua jaringan saya ada termasuk dari industri seni Sepanyol untuk dijadikan bahan pengajaran. Saya mahu pelajar lebih terdedah dengan perniagaan dunia sebenar mengenai industri seni," katanya kepada Harian Metro.

Mengajar dalam pengkhususan perniagaan serta teknologi muzik, Wincci bersyukur turut diberikan kelonggaran dalam menetapkan jumlah jam mengajarnya.

"Saya memilih untuk fokus dalam lapangan muzik kerana masa depan industri itu sendiri akan terus berpanjangan. Lagipun, saya sendiri pun berada dalam lapangan itu dan tidak henti mendalaminya.

"Ramai pihak profesional dari luar negara yang saya rancang mahu ditampilkan dalam kelas saya. Saya benar-benar mahu membuka mata serta perspektif pelajar saya ke tahap lebih luas lagi," katanya.

Dalam pada itu, Wincci juga terpaksa mengenepikan banyak tawaran seni buat sementara waktu demi fokus menjadi pendidik yang berkaliber.

"Bergelar pensyarah tidak sama apabila saya jayakan seminar sebelum ini. Saya perlu dedikasikan banyak masa untuk buat pelan pengajaran kerana ada harinya kelas saya berpanjangan hingga seharian.

"Oleh itu, saya tolak siap-siap mana-mana tawaran yang tidak kena pada waktunya. Kalau terima pun, cuma aktiviti yang kebetulan saya lapang serta tidak bercanggah dengan jadual di kampus," katanya.

Terdahulu, Wincci mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR), selepas dilantik Profesor Madya dalam bidang muzik dan menjadi Miss World Malaysia pertama mendapat pengiktirafan itu pada 1 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 2:42 PM