IKMAL lakon watak Malik dalam drama Ex Aku Pontianak.
IKMAL lakon watak Malik dalam drama Ex Aku Pontianak.
Norhayati Nordin


DALAM tempoh lima tahun ini, perjalanan karier seni pelakon Ikmal Amry, 28, boleh dilihat semakin menunjukkan peningkatan terutama peluangnya melakonkan watak utama.

Ikmal yang bakatnya mula menyerlah pada 2017 selepas menyertai pertandingan Hero Remaja berkata, dia bersyukur pembabitan serius dalam industri hiburan semakin membuahkan hasil.

Terbaharu, Ikmal atau nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali muncul dengan drama Ex Aku Pontianak arahan Syamil Othman sebanyak 10 episod, mulai Rabu ini, jam 9.30 malam di Astro Ria.

Melakonkan watak Malik yang juga 'kaki perempuan', Ikmal berkata, watak itu agak mencabar baginya kerana dia perlu berubah menjadi lelaki yang kelakar, sedikit lurus dan 'masuk air'.

"Ini karakter yang sangat baharu bagi saya kerana bertentangan sikap sebenar diri. Sejujurnya saya bukan seorang yang kelakar, tapi mungkin juga pengarah yakin watak ini sesuai untuk saya dan tak salah mencuba.

"Bagi saya, sebagai pelakon kena berani cuba setiap watak diberikan itu kerana peluang tak datang selalu. Malah, cabaran dalam lakonan pula adalah perkara biasa," katanya.

Berganding dengan pelakon berkaliber seperti Elizabeth Tan, Raysha Rizrose, Fatimah Abu Bakar dan Datuk Malek Noor, kata Ikmal yang baharu bergelar bapa pada 30 Disember tahun lalu, dia selesa melihat positif untuk dirinya.

"Alhamdulillah, walaupun boleh dianggap masih baharu dalam karier lakonan ini, tetapi syukur saya tidak pernah bimbang dengan kehadiran pelakon lain di sisi.

"Saya selesa hanya beri fokus pada watak sendiri yang akan dilakonkan nanti. Saya kurang ambil tahu siapa rakan pelakon lain yang terbabit sama dalam projek lakonan diterima.

"Bukan berlagak, cuma saya rasa lebih baik tak payah ambil tahu sangat siapa mereka kerana akan bebankan fikiran. Jadi, selalunya saya tahu barisan pelakon lain selepas masuk lokasi.

REZEKI watak utama, Ikmal akui sangat bersyukur.
REZEKI watak utama, Ikmal akui sangat bersyukur.

"Sebaik bertemu mereka (pelakon) di lokasi, baru saya berusaha mewujudkan keserasian kami dalam watak dilakonkan. Untuk saya, cara ini berkesan dan tidak mengganggu fokus kerja," katanya.

Mengulas juga rezeki dan peluangnya berlakon watak utama, Ikmal berkata, mungkin sekarang adalah masa untuk dia menyerlahkan bakat diri selepas menimba pengalaman dalam lakonan sebelum ini.

"Sampai bila juga saya hendak selesa hanya berlakon watak pembantu atau sampingan. Bukan saya kata watak sebegitu kurang bagus, tetapi dalam hati saya tetap ada keinginan berlakon watak utama seperti pelakon lain.

"Nampak sedikit sebanyak peningkatan lakonan dalam karier. Apa pun, saya amat bersyukur dengan tawaran lakonan diterima setakat ini, lebih-lebih lagi selepas berkahwin dan ada anak," katanya.

Terdahulu, Ikmal dan isterinya, Najla Shamsul dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang diberi nama Cailie dan bermaksud kesayangan. Bagi Ikmal, dia gembira dan bahagia sudah bergelar bapa.

Terbawa-bawa watak

Berbicara mengenai watak Malik lakonannya dalam drama Ex Aku Pontianak, Ikmal berkata, dia berhadapan masalah 'terbawa-bawa' bayangan karakter itu hingga ke rumah.

"Selama aktif berlakon ini, saya ada masalah yang masih dalam proses belajar iaitu memahamkan diri bahawa pelakon itu adalah 'fake' (palsu) di hadapan kamera dan penonton.

IKMAL akui watak Malik dalam Ex Aku Pontianak mencabar.
IKMAL akui watak Malik dalam Ex Aku Pontianak mencabar.

"Justeru, macam mana saya nak buangkan watak sudah dilakonkan dengan mudah dan tidak terbawa balik ke rumah lagi. Ini kerana, isteri pernah menegur sikap saya yang dikatanya menjengkelkan," kata Ikmal.

Katanya, apabila terbabit penggambaran, dia selalu mengkaji skrip dan memahami dulu watak yang dilakonkan. Jadi, bayangkan jika sudah lebih 30 hari dengan watak itu, bukan mudah untuk ditinggalkan.

"Sekarang, saya ambil masa seminggu untuk berehat selepas habis penggambaran dengan meluangkan sepenuh masa bersama keluarga seperti biasa sebelum kembali 'shooting'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:30 AM