IKMAL Amry
IKMAL Amry
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Ikmal Amry, 28, tidak pernah menganggap peluangnya melakonkan watak pembantu atau sampingan dalam drama yang banyak diterima sebelum ini sebagai bebanan.

Ikmal atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali berkata, dia selalu tidak memikirkan soal watak yang diterima berikutan memahami tuntutan kerja sebagai pelakon.

"Saya okay saja kalau dapat watak pembantu, tapi sampai bila nak dibayangi dengan watak sebegini walaupun ada juga watak itu (pembantu) yang lagi ke depan dan menyerlah.

"Cuma, rezeki rasa lebih apabila mendapat watak utama. Apapun, saya jenis jarang fikir watak sebab dah faham dengan urusan kerja dan gaji yang dapat itu pun halal," katanya.

Menurut Ikmal, dia masih dalam proses belajar untuk tidak terbawa-bawa watak lakonannya hingga ke rumah dan sekali gus menjadi orang lain.

"Saya tak faham bagaimana ada pelakon yang boleh terima tawaran 'back to back' untuk mereka lakonkan pada masa sama. Saya pun pernah cuba dulu, tapi tak mampu beri komitmen yang baik.

"Untuk saya sendiri pun, perlu masa cuti sekurang-kurangnya satu minggu untuk betul-betul tinggalkan watak terdahulu yang dilakonkan, sebelum nak masuk ke set penggambaran baharu," katanya.

Ikmal yang sudah berumah tangga dan baru bergelar bapa pada 30 Disember tahun lalu, baru-baru ini muncul dengan drama Ex Aku Pontianak sebagai Malik, seorang 'playboy' atau kaki perempuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 11:41 AM