Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelakon, Ikmal Amry, 27, yang kini menanti masa untuk bergelar bapa menjadikan pelakon dan penyanyi, Alif Satar sebagai rujukan.

Ikmal atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali yang berganding dengan Alif dalam filem Pulai berkata, dia selesa meminta pendapat dan nasihat daripada Alif yang bergelar bapa kepada tiga cahaya mata pada usia 31 tahun.

"Kami sekarang sama-sama terbabit di dalam filem Pulau yang menjalani penggambaran di Langkawi dan sejak itu kami mulai rapat. Saya banyak menerima nasihat serta panduan daripada Alif.

"Saya kerap bertanya apa saja mengenai penjagaan bayi dan persediaan untuk bergelar bapa. Dia sendiri menjadi bapa pada usia yang muda.

"Saya banyak dapat ilmu seterusnya mendengar pengalamannya. Kebetulan, doktor yang bakal menyambut kelahiran anak sulung kami juga doktor yang menguruskan proses bersalin isteri Alif," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya dan isteri, Najla Shamsul dalam menantikan ahli baru dalam keluarga, Ikmal berkata, perasaannya bercampur-baur.

"Saya teruja, dalam masa sama juga berdebar. Najla hanya menanti masa untuk bersalin. Doakan semoga semuanya dipermudahkan.

"Sebaik selesai penggambaran Pulau, saya akan terus kembali ke Kuala Lumpur untuk menemani isteri memandangkan dia jangka bersalin Sabtu ini. Insya-Allah," katanya.

Ikmal dan Najla melangsungkan pernikahan pada 19 Disember tahun lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Disember 2021 @ 10:37 AM