Najiy Jefri


Pengalaman ngeri pelakon, Ikmal Amry ketika terbabit dalam kemalangan selepas kereta dipandu hilang kawalan sebelum merempuh sebuah kenderaan hingga menyebabkan keretanya berpusing sebelum terbalik membuatkan dia fobia untuk memandu ketika ini.

Insiden yang berlaku bersama isteri dan anaknya nyata membuatkan dia begitu trauma dan sukar membayangkan kejadian yang menimpa mereka, baru-baru ini.

Ikmal atau nama sebenarnya Mohd Zulikmal Amry Ghazali berkata, sehingga kini dia masih mengalami trauma berpanjangan selain mengalami ketakutan dan gelisah hingga mengganggu kehidupan seharian.

"Kemalangan itu memberi impak dalam kehidupan saya. Sehingga hari ini, saya tidak mampu memandu kerana sering diburu rasa bimbang kerana memikirkan perkara kurang baik yang akan berlaku.

"Saya pernah cuba memandu, tetapi bila sampai di jalan raya, saya jadi teragak-agak kerana 'over thinking'. Tak tahulah sampai bila keadaan ini akan pulih. Buat sementara waktu, pembantu peribadi akan tolong hantarkan.

"Selain itu, saya juga takut keluar rumah dan berjumpa dengan orang ramai. Keadaan ini membuatkan saya seperti terkena 'anxiety'," katanya ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem Rasuk, baru-baru ini.

Menurut Ikmal, isterinya Najla Shamsul turut mengalami situasi sama selepas kejadian itu.

"Pernah terjadi ketika Najla sedang tidur, dia tiba-tiba terjaga dan mencari anak lalu memangkunya. Bagi memulihkan semangatnya, isteri terpaksa pulang ke kampung untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

"Alhamdulillah selepas bersama keluarga dia kini sudah beransur pulih dan semakin kuat untuk menjalani kehidupan seperti biasa. Cuma kadangkala dia tidak boleh mendengar bunyi yang terlampau kuat," katanya.

Sehingga kini, Ikmal tidak pernah bertemu pakar bagi mendapatkan rawatan berhubung masalah yang sedang dihadapi.

Ditanya mengenai keadaan kereta, Ikmal berkata, dia berusaha untuk membaikinya memandangkan itu adalah kereta pertama yang dibeli.

Menurut peserta Hero Remaja 2017, kos keseluruhan yang akan ditanggung kira-kira RM75,000.

"Kereta memang 'total loss' tetapi saya usaha juga untuk baiki sebab itu adalah kereta pertama saya. Saya cuba untuk selamatkan," katanya.

Seronok bintangi Rasuk

IKMAL Amry
IKMAL Amry

Menyentuh mengenai pengalaman membintangi filem Rasuk, Ikmal yang membawa watak sebagai Adli berkata, dia teruja untuk membintangi filem bergenre seram itu.

"Sepanjang penggambaran kami melalui pengalaman yang menyeronokkan kerana pelakon-pelakon yang terbabit semuanya memberikan kerjasama yang baik.

"Kalau tanya cabaran membintangi filem ini apa yang boleh saya kata babak mencekik Alia lakonan Elisya Sandha antara sukar untuk dijayakan. Ini kerana saya perlu mengawal emosi dan wajah kerana ketika itu keadaan saya separuh manusia dan separuh mayat hidup.

"Keadaan ini juga menyebabkan saya tak berani nak cekik Elisya betul-betul kerana terlalu fokus. Bimbang juga bila terlalu fokus menyebabkan tersalah percaturan, tak bernafas pula Elisya," katanya.

Ditanya mengenai tindakannya membuka baju ketika babak mandi dalam sungai, Ikmal berkata, babak terbabit dibuat kerana bersesuaian dengan situasi babak itu.

"Secara logiknya kalau mandi di sungai bersama kawan-kawan pastilah kita buka baju. Melihat yang lain tidak buka baju jadi saya tawarkan diri dalam babak ini," katanya.

Rasuk yang diterbitkan Multimedia Entertainment, Golden Screen Cinemas, Astro dan SixFun Media turut menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Aliff Satar, Alicia Amin, Elisya Sandha, Ayie Floor88, Atiq Azman, Abbas Mahmood dan Syazwan Razak.

Rasuk arahan James Lee bakal menghantui pawagam di seluruh negara bermula 29 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 6:00 AM