CHACHA, Fify jaya watak adik-beradik dalam drama Special Force Anarchy.
CHACHA, Fify jaya watak adik-beradik dalam drama Special Force Anarchy.
Norhayati Nordin


KEDUA-DUANYA ada kehebatan lakonan tersendiri. Namun, yang pasti pelakon ChaCha Maembong, 27, dan Fify Azmi, 33, teruja digandingkan bersama drama Special Force Anarchy arahan terbaharu, Syafiq Yusof.

Lebih menarik lagi, drama yang padat aksi dan penyiasatan terbitan Skop Productions disiarkan secara eksklusif dan boleh juga distrim di Disney+ Hotstar mulai 14 Januari ini.

ChaCha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Rohani Ismail berkata, dia dan Fify menjayakan watak sebagai adik-beradik yang terbabit dalam satu misi khas dan agak mencabar.

"Terus terang, saya akui rasa amat teruja dapat terbabit dalam drama Special Force Anarchy ini, selain pastinya ia kerjasama kali pertama saya dengan Fify yang sudah pun lebih dulu dikenali sebagai pelakon aksi.

"Selama aktif berlakon drama, saya belum pernah lagi berlakon dengan Fify. Tapi, tahu juga namanya disebut-sebut antara pelakon wanita yang 'gempak' apabila buat aksi. Justeru, saya teringin nak bekerja dengan dia," katanya.

Mengulas juga inspirasi yang menjadi semangat dirinya untuk cuba mencabar diri berlakon aksi, ChaCha berkata, sebelum ini dia sudah banyak melakonkan watak antagonis atau 'wanita jahat' dalam drama dibintanginya.

Bagi Fify pula berkata, ChaCha tidak kurang hebatnya kerana dia sangat berusaha membuat yang terbaik untuk lakonannya dan begitu bersungguh-sungguh ketika bekerja.

"Seronok bekerja dengan ChaCha kerana kami kawan baik dan sudah kenal lama. Tak susah pun untuk kami wujudkan keserasian ketika bekerja dan membentuk lakonan masing-masing. Kami saling membantu.

"ChaCha juga suka bertanya dan kami mudah bertukar pendapat. Walaupun ChaCha dah lama jadi pelakon daripada saya, tapi kami sekepala dan tiada langsung rasa siapa yang lama, siapa orang baharu. Kami bekerja dalam situasi cukup 'best'," katanya.

Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohamed Azmi yang pernah membintangi filem Wira dan meraih trofi Pelakon Harapan Wanita pada Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) berkata, dia kini mengharapkan drama Special Force Anarchy mendapat sambutan baik daripada penonton.

Selain ChaCha dan Fify, drama Special Force Anarchy turut membariskan pelakon seperti Datuk M Nasir, Puteri Aisyah, Hasnul Rahmat, Steve Yap, Anas Redzuan dan Yusof Bahrain.

Siri original Disney+ Hotstar yang mempunyai tujuh episod mengisahkan perjalanan pegawai polis wanita, Iman yang berani dari sebuah negara fiksyen, Tenggara dalam menyiasat satu kes rompakan bank terancang.

Bagaimanapun, siasatan yang dilakukan Iman mempertemukan dia dengan kumpulan penjenayah berbahaya dan licik sehingga membuka satu lembaran rahsia besar yang mampu mengubah semuanya dan apakah itu?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 6:10 AM