Georgie Joseph


ANTARA filem tempatan yang paling dinantikan sekarang semestinya filem J2: J Retribusi yang menampilkan pelakon Zul Ariffin, Ashraf Sinclair, Yiming Chen, Amelia Henderson dan ramai lagi.

Istimewanya, karya arahan Nazrul Asraff Mahzan dan Nazim Shah itu turut dipilih menjadi filem pilihan untuk ditayangkan di platform penstriman baharu, Disney+ Hotstar. Boleh diakses mulai 1 Jun nanti, pelancaran platform itu jelas mendapat reaksi luar biasa.

Bersempena dengan pelancaran J2: J Retribusi untuk platform terbabit, label rakaman Monkey Bone dengan kerjasama Primeworks Studios, Infinitus Productions, TGV Pictures dan Sunstrong Entertainment, melancarkan lagu tema filem berjudul RALIT.

Menampilkan dua penyanyi rap yang semakin meledak namanya iaitu Tuju dan Malik Abdullah, semestinya lagu berkenaan cukup padu. Apalagi kedua-dua penyanyi itu tidak disangkal begitu kuat pengaruh muzikalnya.

Tuju misalnya, bukan sekadar rap, dia juga memiliki vokal nyanyian yang cukup mengagumkan dengan tona suara serak-serak basah. Manakala, Malik dengan pesona tersendiri dalam menghidupkan sesebuah lagu.

Mendapat sentuhan gubahan daripada komposer muda, Ming dan Wolfy, lagu itu jelas memiliki kekuatan baik melodi mahupun liriknya. Ia juga cukup bertepatan dengan konsep filem J2: J Retribusi yang penuh aksi.

Menurut Tuju, dia amat terharu diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema sebuah filem yang begitu besar jenamanya. Baginya, setiap lirik dalam lagu RALIT cukup sempurna bagi menggambarkan plot cerita dalam filem terbabit.

"Alhamdulillah, kami sangat berbesar hati di atas peluang dan kerjasama daripada pihak produksi dan pemasaran filem ini. RALIT semestinya diilhamkan dari penceritaan J2: J Retribusi itu sendiri.

"Ia menceritakan seorang hero yang berada dalam keadaan genting, manakala masa semakin suntuk untuknya menyelamatkan orang paling disayanginya. Saya berharap penonton dan peminat muzik dapat menghayati setiap bait lirik lagu ini bersama penceritaan di sebalik filem yang hebat," katanya.

TUJU dan Malik berbesar hati menyanyikan RALIT untuk lagu tema filem J2: J Retribusi.
TUJU dan Malik berbesar hati menyanyikan RALIT untuk lagu tema filem J2: J Retribusi.

Bagi Ketua Pengedaran dan Pemasaran Filem Primeworks Studios, Liz Chong pula menyifatkan pemilihan dua penyanyi generasi baharu berkenaan sememangnya cukup tepat. Pihaknya percaya mereka tampil dengan aura tersendiri.

Tidak ketinggalan, kerjasama terjalin antara mereka sememangnya cukup mudah untuk dilaksanakan. Justeru, mereka berharap RALIT juga bakal memberikan impak tersendiri kepada penonton filem itu kelak.

"Ia sebuah kerjasama yang sangat mudah apabila kami sebulat suara dapat menyatukan mereka dalam sebuah lagu. Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Malik untuk runut bunyi Ejen Ali The Movie menerusi lagu Kita Jaga Kita.

"Kami juga sentiasa mengikuti perjalanan muzik Tuju dan K-Clique. Oleh itu, besar harapan kami kepada peminat dan penonton akan menikmati lagu yang hebat ini, sebagaimana jalan cerita filem itu sendiri," katanya.

RALIT kini boleh didengarkan di Spotify, Apple Music, Deezer, Joox, KKBox, YouTube Music dan iTunes.

Terdahulu, The Walt Disney Company mengumumkan akan melancarkan perkhidmatan penstriman Disney+ Hotstar tidak lama lagi. Perkhidmatan itu menyajikan jenama filem-filem pecah panggung serta ikonik termasuk daripada Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic serta karya hit dari Asia.

Selain J2: J Retribusi, produk tempatan lain ditayangkan termasuk Zombitopia, Ada Hantu, Ejen Ali The Movie 2, drama Single Terlalu Lama, Kekasih Hati Mr. Bodyguard, Tombiruo, KL Special Force, Ejen Ali The Movie, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal dan Munafik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 6:30 AM