Izzaty Syahira anggap peluang keemasan itu wajar dipenuhi
Izzaty Syahira anggap peluang keemasan itu wajar dipenuhi
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Bekas pembaca berita TV3, Izzaty Syahira meluahkan rasa teruja dan berbangga apabila bakal memulakan tugas sebagai pengacara program bual bicara, Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, esok.

Izzaty,30, berkata, dia tidak menyangka apabila pasukan produksi WHI menghubunginya pada hujung tahun lalu dan menawarkan peluang keemasan itu.

"Saya sangat berbesar hati dan berbangga kerana dipilih untuk menjadi sebahagian daripada keluarga WHI. Kalau kita lihat barisan pengacara WHI semuanya nama-nama besar dalam dunia pengacaraan dan masing-masing memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri.

"Insya-Allah saya akan mengalas tugas ini dengan sebaik mungkin. Doakan semoga semuanya berjalan lancar. Esok adalah hari pertama saya mengendalikan program ini bersama rakan pengacara Uyaina Arshad," katanya.

Menurut Izzaty, selepas meninggalkan stesen televisyen Media Prima Berhad pada Jun 2021, dia bersyukur apabila masih diberi peluang untuk bersama dengan syarikat gergasi itu.

"Selepas enam tahun berkhidmat sebagai wartawan penyiaran dan pembaca berita, saya ambil keputusan untuk berhenti kerja pada Jun 2021.

"Kemudian saya bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah syarikat lebuhraya, tetapi rezeki saya bersama syarikat itu tidak lama kerana saya mengalami alahan teruk selepas disahkan hamil anak pertama.

"Alhamdulillah saya sudah dikurniakan cahaya mata sulung, Rafa Zayn yang baru berusia enam bulan dan bersedia untuk kembali bekerja.

"Saya terima tawaran ini pun sebab WHI antara program yang dekat di hati setiap wanita. Program ini mengetengahkan isu wanita yang menarik untuk dikupas bersama panel jemputan berbeza. Saya juga melihat program ini sangat infomatif dan boleh menjadi sumber rujukan kepada kaum hawa yang mengalami masalah atau berdepan situasi sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 4:31 PM