Uyaina Arshad
Uyaina Arshad
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pengacara dan pelakon Uyaina Arshad bersyukur apabila tiada kejadian buruk menimpa dirinya ketika mengendalikan segmen tajaan dalam program Wanita Hari Ini (WHI) di TV3.

Uyaina berkata, dia hampir terjatuh sewaktu mengacarakan program secara langsung itu, baru-baru ini.

"Ketika mengacarakan segmen tajaan, saya berdiri di atas sebuah platform, namun ketika saya undur satu langkah ke belakang saya hampir terjatuh. Selalunya, kalau undur okey sahaja.

"Tapi, benda lain yang jadi. Nasib baik tak berlaku perkara yang buruk. Berderau darah saya, rasa macam jantung dah berada di atas lantai," katanya.

Menurut Uyaina, keadaan dirinya yang hampir terjatuh  itu cuba dikawal sebaik mungkin serta mujur tidak terjadi perkara buruk.

"Alhamdulillah, tak melatah atau berlaku perkara tidak diingini. Apa yang lebih penting, saya tak terjatuh.

"Saya bersyukur apabila ada membaca komen mengenai cara saya mengawal situasi. Bagi saya segala yang baik itu datang dari Allah. Setiap kali mengendalikan sesebuah rancangan, saya akan cuba untuk memperbaiki hasil kerja saya.

"Saya pun dapat tahu ada orang parodikan video saya terjatuh. Bila saya tonton, hanya mampu tergelak dan terfikir kreatif betul rakyat Malaysia ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 9:56 PM