Zoey Rahman
Zoey Rahman
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pelakon dan usahawan Zoey Rahman menepis dakwaan mengenakan solekan terlalu tebal sebaliknya hanya menggunakan 'filter' yang ada di Instagram.

Tampil menafikan dirinya melakukan sebarang pembedahan kecantikan, Zoey memberitahu perbezaan itu adalah disebabkan solekan yang dilakukannya.

"Dalam video itu nampak lain, sebab saya pakai filter yang ada di Instagram. Malah, solekan pun saya hanya pakai 'foundation', bedak dan pewarna bibir. 

"Mungkin kesan 'filter' itu yang buatkan nampak seperti saya beriya-iya menggayakan solekan yang tebal," kata Zoey.

Terdahulu, perkongsian video selebriti itu menerusi laman sosial miliknya menarik perhatian dalam kalangan netizen yang tertanya-tanya mengenai perubahan wajahnya. 

Rata-rata netizen meninggalkan komen berkenaan wajah Zoey yang kelihatan sangat berbeza dari sebelum ini sehinggakan ada yang tidak mengenali selebriti itu.  

Menurut Zoey, dia juga tampil mempertahankan dirinya apabila kerap mempromosikan barangan kosmetik dan membuat tutorial solekan pada wajahnya.

"Sebagai pemilik produk kosmetik saya perlu promosikan produk saya. Bisnes ini adalah sumber pendapatan utama. Walaupun saya tahu sasaran pembeli adalah golongan wanita tapi lelaki juga boleh bersolek.

"Dulu saya akui agak malu nak buat video tutorial solekan sebab saya adalah lelaki tapi kalau difikirkan semula saya adalah pemilik produk kosmetik MikaSeries.

"Mahu atau tidak saya kena menggunakan pengaruh yang saya miliki. Kalau nak bayar pempengaruh untuk tolong promosi bayarannya menelan kos puluhan ribu ringgit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 5:46 PM