ROZAIDAH Khair Johari berkongsi petua.
ROZAIDAH Khair Johari berkongsi petua.
Intan Mas Ayu Shahimi


Siapapun pasti mudah cemburu melihat kejelitaan wanita ini. Paras rupa cerah berseri, kulit putih bersih dan tubuh langsing. Semuanya cukup sempurna di mata wanita. Malah, Rozaidah Khair Johari (Roza), 27, tidak memerlukan solekan tebal untuk tampil menawan.

Mungkin kerana pengaruh kerjayanya sebagai jurumekap, Roza cukup teliti menjaga penampilan diri. Rutin harian wanita muda ini banyak tertumpu kepada penjagaan kesihatan, kecantikan dan aktiviti kecergasan.

Tambahan, dia cukup seronok menjalani rutin disiplin yang tinggi. Secara tidak langsung, penampilannya memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita khususnya pelanggan yang mendapatkan khidmat solekan daripadanya.

Singgah bertemu Roza minggu lalu, wanita ini cukup teruja apabila diajak berkongsi petua dan amalan kecantikan. Jika boleh katanya, dia mahu berkongsi tip dan petua daripada hujung rambut sehingga hujung kaki.

“Sebagai jurusolek, saya sentiasa peka terhadap fungsi dan isi kandungan bahan kosmetik serta produk penjagaan diri. Ini penting kerana terlalu banyak pilihan produk di pasaran.

“Ada yang dihasilkan pengeluar tempatan, dibancuh sendiri di rumah, diseludup masuk dari negara jiran dan tidak kurang juga produk berjenama diiktiraf antarabangsa. Namun, pokok pangkalnya, saya lebih suka mengambil jalan selamat dengan memilih produk daripada sumber organik.

“Kebiasaannya, saya akan melakukan sedikit kajian terhadap jenama produk yang hendak dibeli untuk memastikan bahan di dalamnya tidak mengandungi merkuri. Pada masa sama, saya juga akan meneliti komen pengguna terdahulu di laman media.

“Sudah jadi lumrah, saya biasanya mudah ragu-ragu terhadap produk yang menawarkan perubahan dalam masa singkat. Jadi, saya akan lebih berhati-hati ketika memilih produk penjagaan kulit,” katanya.

Rutin harian

Ditanya sejak bila dirinya mengambil tahu hal penjagaan diri, Roza mengakui dia bermula seawal umur 12 tahun. Pada usia itu katanya, dia sudah pandai memilih pencuci muka yang sesuai dengan keperluan wajahnya.

“Kemudian, saya berjinak-jinak pula dengan produk kosmetik. Saya beli krim pelindung sinar UV yang biasa diiklankan di televisyen. Kebetulan ketika itu saya lasak dan kuat bersukan, jadi kulit mudah terbakar. Krim berkenaan saya sapu pada wajah untuk kesan mencerah dan mencantikkan kembali kulit yang terjejas,” katanya yang giat mengamalkan petua kecantikan tradisional dengan sentuhan moden.

Menurut Roza, tidak kira produk di pasaran atau petua ringkas, kedua-duanya dijadikan amalan harian. Madu umpamanya, antara bahan wajib ada untuk dijadikan minuman dan menghasilkan masker kulit atau bibir. Sementara bagi produk di pasaran, Roza setia dengan SK II dan kini turut menggabungkan penggunaannya dengan jenama penjagaan L’occitane.

“Rutin harian saya sejak dulu hingga kini tidak banyak yang berbeza. Bangun pagi, saya akan minum dua gelas susu atau air suam. Saya juga mengamalkan pengambilan kapsul minyak ikan setiap pagi dan malam.

“Buah-buahan pilihan saya pula biasanya adalah ceri, strawberi dan anggur. Saya tidak mengambil gula. Kebanyakan sumber gula saya adalah daripada buah-buahan yang saya ambil.

“Selain itu, saya juga penggemar ulam. Saya makan seperti biasa, tetapi mengehadkan kuantiti yang diambil kerana sedar bukan mudah untuk menurunkan berat badan jika sudah mengalami kenaikan.

“Paling utama, saya akan memastikan diri sentiasa cergas menerusi senaman. Kira-kira dua jam sebelum tidur, saya akan lakukan tekan tubi dan squat, diikuti yoga (tiga kali seminggu) dan mengambil minuman nyah toksid (antara dua hingga tiga kali seminggu). Sebelum tidur, saya akan pastikan wajah dicuci bersih, disapu esen rawatan dan pelembap,” katanya.

Kongsi petua

Dalam pada itu, Roza juga teruja berkongsi petua paling kerap diamalkan setiap kali sebelum atau sedang bersolek. Katanya, wajah yang sudah dibersihkan perlu diletakkan lapisan primer supaya solekan kekal lama.

“Selalunya saya akan urut sekitar mata ketika meletakkan primer. Mata ini perlu diberi perhatian kerana ia memainkan peranan utama pada wajah. Urutan lembut sekitar mata mampu menyegarkan penglihatan dan menaikkan seri wajah.

“Saya juga amalkan pengambilan satu sudu madu setiap pagi untuk memberi kesegaran dan tenaga. Saya percaya bukan semua orang boleh minum susu seperti yang saya amalkan, jadi madu boleh menjadi ganti.

“Satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh semua wanita, usah terburu-buru untuk cantik. Kecantikan sebenar adalah apabila kita tidak memaksa diri untuk cantik. Penggunaan produk mahupun petua alami haruslah dilakukan secara rutin dan berterusan,” katanya.

Tip kecantikan

1. Jarakkan masa amalan petua alami dengan produk kecantikan.

2. Tetapkan giliran untuk memanjakan tubuh dengan bahan semula jadi.

3. Usah guna dua jenis produk yang sama pada satu masa.

4. Sentiasa tukar produk penjagaan (yang sesuai) secara bergilir-gilir.

5. Kekalkan rutin disiplin yang tinggi untuk kesan penjagaan yang optimum.

6. Campurkan madu dengan lemon sebagai masker untuk 30 minit, seminggu sekali.

7. Gunakan air perahan lemon untuk mengecutkan jerawat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2017 @ 2:32 PM