GAMBAR Hasnol yang digunakan lelaki dipercayai scammer untuk meminta wang daripada orang ramai di Facebook.
GAMBAR Hasnol yang digunakan lelaki dipercayai scammer untuk meminta wang daripada orang ramai di Facebook.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : Penyanyi Hasnol Hassan Ariff, 52, kesal dengan tindakan seorang lelaki yang mencuri gambar-gambarnya semasa menjalani pembedahan lutut pada Julai lalu di media sosial dan menggunakan gambar itu untuk meminta wang daripada orang ramai di Facebook.

Hasnol berkata, lelaki dipercayai scammer itu mendakwa kononnya dia adalah kawan Hasnol dan mahu meminjam wang daripada mereka yang bersimpati dengan menyertakan nombor akaun bank.

"Saya baru tahu perkara ini daripada seorang wanita yang hampir terkena. Mujurlah dia semak dulu dan tidak terpedaya.

"Dia cari profil saya di Instagram dan hantar tangkap layar dengan individu scammer itu untuk saya ambil tindakan lanjut," katanya kepada Harian Metro.

Wanita terbabit juga tidak mahu nama Hasnol busuk seolah-olah memeras wang orang konon keadaannya sedang sakit.

"Saya baru nak buat laporan polis. Wanita ini pun tahu ia scam. Jadi dia lengahkan pemindahan wang hingga saya boleh buat laporan polis dan hebohkan dulu dengan pihak media.

"Dia lengahkan supaya dapat nombor akaun scammer ini dan dari situ boleh kesan semua maklumat selepas laporan polis. Modus operandinya ialah mencari mangsa menggunakan platform dating Facebook," katanya yang tidak mahu masyarakat tertipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 3:55 PM