HASNOL (depan) bersama Tony dan Keon.
HASNOL (depan) bersama Tony dan Keon.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengalaman bekerja kali terakhir dengan Allahyarham Tony Spider menerusi single berjudul Hilang akan kekal tersemat dalam ingatan penyanyi Hasnol Hassan Ariff.

Hasnol yang sebelum ini popular dengan Laguku Untukmu berkata, kerjasama pertama mereka mula terjalin pada 2018 apabila Tony atau nama sebenarnya Tony Iskandar Alberto menghasilkan lagu berjudul Dihiris Sepi untuknya.

"Selepas selesai rakaman di Studio Tune, Klang, Tony beri satu lagu lagi untuk saya hasilkan liriknya pada September tahun itu.

"Arwah pujuk saya selepas saya merajuk dengan produksi single sebelum itu. Dia beri saya dengar banyak lagu-lagu dalam simpanan yang diciptanya sendiri. Saya amat tertarik dengan satu lagu yang sangat kena dengan jiwa dan penyampaian saya. Tony terus suruh saya buat lirik lagu itu," katanya.

Menurutnya, mereka bertemu semula seminggu selepas itu dan melakukan sedikit pengubahsuaian lagu ini.

"Dalam masa sama, Tony berbincang dengan pihak Luncai Emas untuk keluarkan lagu yang dinyanyikan saya ini di bawah mereka dan Luncai Emas bersetuju.

"Lirik terus diperbaiki dan dalam masa bekerjasama dengan Tony, saya menyelami kehidupannya yang sangat ringkas dan tanpa tekanan.

"Maklumlah arwah hidup sendiri di Kuala Lumpur, manakala satu-satu adiknya ada di Johor Bahru, bekerja dan menetap di sana," katanya.

Secara kebetulan, bapa Hasnol turut sakit tenat ketika itu dan dirawat di Hospital Sungai Buloh pada tahun yang sama.

"Saya sentiasa berulang-alik dari Cheras ke Sungai Buloh untuk menjaga abah sambil mencari kesempatan untuk bertemu Tony bagi menyiapkan lagu itu.

"Selepas lagu itu siap, abah pula meninggal dunia pada awal Disember 2018 dan memaksa kami menangguhkan sekejap urusan sebagai tanda menghormati pemergiannya.

"Proses selanjutnya disambung pada akhir Mac 2019 dan mendapat persetujuan Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar untuk mengeluarkannya," katanya.

Hasnol berkata, selepas kematian Tony semalam, dia mengamati lirik Hilang dan mendapati dia sebenarnya menulis kehidupan Tony secara tanpa sengaja.

"Lagu ini dikeluarkan pada Oktober 2019 tapi akibat Covid-19 promosinya tak dapat diteruskan. Kami bersetuju untuk memasukkan lagu itu sebagai sebahagian dari album Nadi Cinta Kita yang sepatutnya dikeluarkan pada Oktober lalu.

"Sekarang setiap kali tatap gambar-gambar dia, air mata saya pasti akan terus mengalir. Tak pernah lagi seumur hidup saya jumpa sahabat sehebat hati Tony. Dia merendah diri tapi penuh dengan ilmu," katanya.

Berita berkaitan

'Rakan-rakan urus jenazah, pengebumian Tony'

'Tony minta maaf dan kata nak pergi' - Tam Spider

Bekas pemain bass Spider meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 6:01 PM