ANTARA artis lama yang terlibat dengan AVOL.
ANTARA artis lama yang terlibat dengan AVOL.
Ridzuan Abdul Rahman

 

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Hasnol tidak berputus asa mencari rezeki semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa sekarang.

Menerusi inisiatif dengan beberapa rakan, Hasnol mewujudkan platform nyanyian menerusi Facebook AVOL (Artiste Voice of Legend) dengan menetapkan sumbangan sebanyak RM1 dari peminat.

"AVOL adalah platform yang dibangunkan untuk membantu rakan artis legenda terutamanya dari era 1980-an dan 1990-an untuk menjana pendapatan melalui Konsert Maya RM1.

"Ia satu langkah yang dilihat sesuai untuk masa ini buat mereka golongan artis terutamanya yang amat terkesan dan tiada sumber pendapatan dalam waktu PKP 3.0.

"AVOL sebenarnya wujud atas cetusan idea penyanyi Fredo, Zamiel, Azam dan saya sendiri. Niat kami tak lain hanya bertujuan membantu rakan artis otai termasuk saya sendiri dan legenda Fredo," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sudah hampir dua tahun golongan penyanyi tidak dapat mengadakan persembahan di mana-mana acara.

"Menerusi cara ini kami dapat menjana pendapatan walaupun hanya dengan permintaan RM 1 daripada peminat setia.

"Alhamdulillah selepas dimulakan sejak 2 Jun lalu, sambutan peminat sangat memberangsangkan dan saya mewakili mereka yang lain berterima kasih atas keprihatinan mereka.

"Kami ke udara hampir setiap petang dan walaupun sedikit sumbangan yang diberikan, namun sangat besar buat kami. Ia banyak membantu kami menguruskan kehidupan yang terkesan dengan PKP," katanya.

Hasnol berkata, bukan semua golongan penggiat seni mendapat bantuan dari kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

 "Ada juga yang tidak mempunyai simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membolehkan mereka dapat i-Sinar ataupun i-Lestari seperti golongan lain.

 "Tak semua daripada kami berada dalam keadaan mencukupi untuk kelangsungan hidup, namun kami tetap tak berputus asa kerana dalam setiap masalah semestinya Allah sentiasa akan membantu seandainya kita memohon dariNya. 

"Kami akan terus mempelawa dan Insya'Allah menerima permintaan peminat yang ingin bersama kami dalam program AVOL sewaktu PKP ini," katanya.

Barisan artis lain yang terbabit dalam Konsert Maya ini antaranya Jatt, Salimah Mahmood, Ameng Spring, Rahmad Mega, Ibnor Riza dan Ramziela.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 5:16 PM