Penyanyi, Hasnol.
Penyanyi, Hasnol.
Syafil Syazwan Jefri


Serdang : Penyanyi yang popular dengan lagu Lagumu Untukku, Hasnol, 53, yang kini sedang dirawat di Hospital Sultan Idris Shah, di sini, kecewanya apabila wujud khabar angin mengatakan dia sudah meninggal dunia.

Hasnol atau nama sebenarnya Hasnol Hassan Ariff berkata, orang ramai seharusnya menyemak terlebih dulu kesahihan sesuatu khabar angin sebelum membuat sebarang andaian tidak tepat.

"Bukan saya saja, malah ramai artis lain pernah terkena fitnah sama. Saya nasihatkan semak dulu kesahihan sesuatu khabar angin sebelum membuat andaian," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, cukuplah ujian dan dugaan yang dialami memberi tekanan dan janganlah ditambah lagi dengan fitnah sebegini.

"Bukan apa, kadang-kadang yang melalui dugaan itu sudah cukup tertekan dengan kepayahan hidup yang dilaluinya. Janganlah ditambah lagi dengan cerita-cerita tidak benar sebegini. Doakan yang baik-baik dan semoga saya dapat bangkit semula," katanya.

Masih menantikan prosedur mengambil sampel spesimen dan laporan penuh hospital mengenai penyakitnya, Hasnol berkata, ini adalah sakit paling teruk pernah dialaminya.

"Rasanya, ini adalah sakit yang paling teruk pernah saya alami. Bezanya, sebelum Oktober 2022, saya masih ada perlindungan insuran.

"Tapi, selepas bercerai lebih kurang setahun dua bulan, saya memang sendiri tanpa sebarang perlindungan.

"Kepada sahabat-sahabat baik saya seperti Mac Rahayu, Damian Mikhail dan ramai lagi, terima kasih kerana terus menerus memberikan sokongan kepada saya dan membantu menghebahkan mengenai keadaan kesihatan saya.

"Damian pun khabarnya sedang bantu mengumpul sedikit sumbangan untuk ringankan beban bil perubatan saya," katanya.

Hasnol berharap agar tahun 2024 ini membawa bersama doa agar kesihatannya bertambah baik.

Terdahulu, Hasnol dirawat di hospital berkenaan sejak minggu lalu selepas mengalami demam dan batuk yang teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 12:09 PM