STACY bakal muncul dengankonsert solopertama. - FOTO Nurul Syazana Rose Razman
STACY bakal muncul dengankonsert solopertama. - FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Norhayati Nordin


BEGITU pantas masa berlalu, kini sudah hampir 15 tahun Stacy Anam berkecimpung dalam industri seni sebagai penyanyi dikenali ramai, malah lagu-lagunya juga banyak yang popular.

Stacy atau nama Islamnya, Ummu Syaikhah Stacy, 32, yang juga juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) mengakui sangat gembira dan tidak sabar untuk muncul dengan konsert solo pertamanya pada tahun depan.

"Alhamdulillah, syukur selepas hampir 15 tahun menjadi penghibur dalam industri, akhirnya saya berpeluang untuk 'perform' (buat persembahan) di konsert solo sendiri pada Februari tahun depan.

"Semoga menjadi permulaan yang baik untuk kerjaya seni saya mendatang, insya-Allah. Doakan saya, semoga dipermudahkan semua urusan dan semoga kalian semua 'support' (sokong) konsert pertama saya ini," katanya.

Stacy berkata, apa yang lebih istimewa dan bermakna buatnya terhadap konsert solo itu ialah lokasi berlangsungnya akan diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC. Katanya, dia betul-betul sangat teruja.

Lebih sedekad aktif dalam nyanyian, Stacy juga mendapat jolokan daripada penggemar muzik tanah air sebagai 'Ratu Tari Malaysia' dan 'Ratu Pop'. Malah, dia juga dikenali dengan nama Bunga Cantik sebagai komposer dan penulis lirik.

Hingga kini, antara lagu popular Stacy yang sudah bergelar isteri dan ibu ialah Aku Stacy, Gagap, Pakai Buang, Jahat, Kisah Dongeng, Kasanova, Not For Sale (duet bersama Altimet), Pelangi Senja, Bosan, Gilalah, Romeo, Cakap Ke Tangan dan banyak lagi.

Sememangnya tiada apa yang lebih membahagiakan dan menjadi saat indah seorang penyanyi dalam kariernya, apabila mendapat kepercayaan menghiburkan penonton dalam sebuah persembahan konsert.

Bagi kehidupan peribadi pula, Stacy bertemu jodoh dengan penyanyi kumpulan Akim & The Majistret juga komposer, Akim Ahmad, 31, pada 5 Februari 2016. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Eshaal, 5 dan Isa, kini berusia empat bulan, selain seorang anak angkat, Bella De Luna Valentina, 9.

Stacy yang selamat melahirkan anak lelakinya, Isa pada 6 Ogos lalu menerusi pembedahan, bersyukur ramai peminat yang mendoakan kesejahteraannya dan seisi keluarga.

"Alhamdulillah, kini lengkap keluarga kecil kami dengan kehadiran cahaya mata lelaki ini," katanya yang sebelum itu sudah memiliki dua orang anak perempuan yang cantik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 6:44 AM