NICK Carter
NICK Carter
Agensi

Los Angeles: Anggota kumpulan Backstreet Boys, Nick Carter, 42, hadapi tindakan saman sivil atas dakwaan merogol seorang gadis autisme berusia 17 tahun dalam satu kejadian berlaku kira-kira 21 tahun lalu.

Memetik portal CBS News, mangsa dikenali sebagai Shannon Ruth, 39, mendakwa dirogol penyanyi itu ketika kumpulan muziknya yang popular melakukan siri konsert jelajah pada 2001.

Ruth yang juga seorang penghidap 'cerebral palsy' mendakwa dia mengalami trauma dalam satu tempoh panjang akibat kejadian dialami itu.

"Kehidupan saya penuh dengan penderitaan, kekeliruan, kekesalan dan rasa malu yang teramat hingga hampir membahayakan diri sendiri sepanjang 21 tahun lalu.

"Semua ini terjadi kerana Carter merogol saya," dakwanya seperti dilaporkan portal CBS News.

Pendedahan dibuat Ruth dan peguamnya, Mark Boskovich dalam sidang media di Beverly Hills, California itu disiarkan juga secara langsung menerusi Facebook, Khamis lalu.

Menerusi dokumen mahkamah difailkan pada 8 Disember lalu, Ruth berkata, dia menghadiri konsert Backstreet Boys pada Februari 2001.

Sementara itu, Carter menafikan dakwaan berkenaan menerusi satu kenyataan diberikan kepada portal CNN daripada peguamnya, Michael Holtz.

"Dakwaan mengenai insiden yang kononnya berlaku lebih 20 tahun lalu bukan saja tidak berbaloi dari segi undang-undang, tetapi tidak benar sama sekali.

"Ruth dimanipulasi untuk membuat dakwaan palsu terhadap Carter. Dakwaannya juga berubah berulang kali dan secara material dari masa ke masa," kata kenyataan itu.

Susulan insiden berkenaan juga, tayangan program A Very Backstreet Holiday sempena sambutan perayaan Hari Krismas yang mengundang Carter bersama anggota Backstreet Boys lain iaitu AJ McLean, Kevin Richardson, Brian Littrell dan Howie Dorough yang patut disiarkan pada 14 Disember ini ditarik balik stesen televisyen, ABC.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 3:03 PM