Sydney: Seorang lelaki maut selepas diikat abangnya sebelum ditikam dan dituang cecair peluntur ke dalam mulutnya.

Jay Cerin, 26, ditemui mati di bilik tidurnya di kediamannya di Hebersham yang dikongsi bersama teman wanita Ruth Robinson.

Ruth berkata, Cerin membuat kesilapan besar apabila membenarkan abangnya Trent, 29, dan teman wanita Rhiannon Bloodsworth, 23 tinggal di situ.

Pasangan berkenaan dilaporkan mengikat, menikam serta menuangkan peluntur ke dalam mulutnya.

Pasangan itu ditahan kurang 12 jam kemudian selepas pegawai pengangkutan melihat mereka di Stesen Kereta Api Central pagi kelmarin. Kedua-duanya didakwa atas tuduhan bunuh semalam dan tidak dibenarkan diikat jamin.

Ruth berkata, Cerin membenarkan Trent tinggal di rumahnya kerana bersimpati dengan nasib abangnya yang sukar mendapat kerja.

“Dia memang baik hati dan cuma mahu membantu abangnya, tetapi ini pula balasan si abang terhadapnya,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2015 @ 10:36 AM