SHIHA tak nafi wajah dan namanya kini lebih dikenali sebagai pelakon malah kerap kali muncul dalam pelbagai drama, filem.
SHIHA tak nafi wajah dan namanya kini lebih dikenali sebagai pelakon malah kerap kali muncul dalam pelbagai drama, filem.
Syafil Syazwan Jefri


Walaupun memulakan kerjayanya sebagai penyanyi, hikmah pandemik Covid-19 dan beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa rezeki lain buat Shiha Zikir ini.

Siapa sangka, Shiha yang mencipta nama sebagai penyanyi kini juga dikenali dengan pelbagai label dalam cabang seni yang dilakukannya.

Kini, wajah Shiha kerap kali mengisi kaca TV menerusi pelbagai drama dan filem sekali gus aksinya sebagai pelakon komedi juga berjaya mencuit hati ramai penonton.

Shiha juga tidak menafikan bahawa wajah dan namanya kini lebih dikenali sebagai pelakon berbanding penyanyi.

"Saya okey saja. Keutamaan saya masih lagi dalam bidang nyanyian. Namun, saya tak nafikan mungkin ramai tengok saya di TV berbanding mendengar lagu saya di stesen radio.

"Saya akui, lagu saya pun bukanlah terlalu kerap dimainkan di stesen radio. Cuma peminat yang benar-benar mengikuti perkembangan saya saja yang akan tahu dan ada yang menonton di YouTube. Jadi, mungkin disebabkan itulah lebih ramai orang yang mengenali saya sebagai pelakon," katanya.

Berkongsi mengenai watak komedi yang kini nampaknya mula menjadi 'makanan' Shiha, dia benar-benar selesa untuk menyerap watak sebegitu.

"Kebetulan juga watak yang ditawarkan kepada saya adalah komedi. Saya pula memang kalau lawak-lawak memang saya suka, jadi saya okey saja.

"Saya nak maklumkan bahawa saya terbuka untuk cuba apa saja cabang seni tak kiralah lakonan, komedi atau pengacaraan dan nyanyian tetap menjadi nombor satu," katanya.

Ditanya jika pandemik ini berpanjangan dan acara-acara persembahan nyanyian tidak dapat dijalankan seperti sebelum ini, adakah dia akan memberi keutamaan kepada lakonan, Shiha menyerahkan segala-galanya kepada rezeki Allah.

JIKA  tiada aral Shiha akan terbitkan single solo terbaru bulan depan.
JIKA tiada aral Shiha akan terbitkan single solo terbaru bulan depan.

"Insya-Allah, kalau rezeki itu Tuhan sudah tetapkan, saya tak boleh nak tolak. Apa yang boleh saya katakan, setiap tawaran lakonan yang saya terima itu pun semuanya melalui proses tapisan.

"Bukan apa. Ada beberapa tawaran drama yang terpaksa saya tolak kerana saya tahu kemampuan saya. Kalau boleh, saya tak mahu memberikan hasil kerja yang kurang memuaskan.

"Jadi, apabila diberikan rezeki yang saya rasa saya mampu untuk buat, saya akan ambil. Dalam situasi PKP seperti sekarang, acara-acara persembahan muzik pun tak dapat dijalankan contohnya majlis korporat dan sebagainya. Jadi, datanglah rezeki lakonan," katanya.

Mengimbau saat sebelum wujudnya Covid-19, Shiha juga pernah ditawarkan untuk berlakon.

"Sebelum ini tawaran lakonan memang ada, cuma saya tak dapat nak berikan komitmen penuh andai kata saya terima. Sebabnya, pada waktu itu saya memang sibuk dengan nyanyian.

"Untuk berlakon, ia memerlukan komitmen penuh. Takkan saya nak minta produksi mengikut jadual kerja saya, kan? Jadi, saya tak mahu susahkan orang lain," katanya.

Berkongsi mengenai kerjaya seni, ada beberapa kerja lakonan yang terpaksa ditangguhkan akibat penularan Covid-19.

"Ada beberapa penggambaran drama terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu. Insya-Allah, kalau ada kebenaran untuk aktiviti penggambaran dilakukan, ia akan disambung.

"Kalau nyanyian pula, insya-Allah, akan ada beberapa lagu baru yang akan diterbitkan. Dalam bulan depan, kalau tiada aral melintang, saya akan terbitkan single solo terbaru saya.

"Selain itu, akan ada juga beberapa lagu untuk artis lain yang bekerjasama dan menampilkan saya. Tapi, semuanya masih dalam perbincangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 6:40 AM