Pelakon, Zila Bakarin diangkat sebagi ikon program Jom Celik Al-Quran pada Majlis Pelancaran Jom Celik Al-Quran di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pelakon, Zila Bakarin diangkat sebagi ikon program Jom Celik Al-Quran pada Majlis Pelancaran Jom Celik Al-Quran di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur. FOTO AIZUDDIN SAAD
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON Zila Bakarin, 45, mengakui pernah beberapa kali ditolak syarikat produksi selepas dia tampil dengan imej bertudung sejak Februari lalu.

Zila berkata, kebanyakan tawaran lakonan itu ditawarkan sebelum dia bertudung dan selepas berbincang, dia terpaksa melepaskan tawaran itu dengan hati terbuka.

"Ada beberapa tawaran yang saya terima pada awal tahun ini ketika saya belum bertudung. Jadi, apabila saya bertudung ada beberapa tawaran dibatalkan kerana mereka mahukan Zila Bakarin yang dahulu untuk disesuaikan dengan watak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dia berlapang dada walaupun tawaran lakonan buatnya terpaksa dibatalkan kerana imej terbarunya ini.

"Apabila mereka terpaksa batalkan tawaran itu kerana saya bertudung, saya berterima kasih kepada Allah kerana Dia yang memberikan rezeki. Saya sentiasa yakin bahawa rezeki Allah itu luas.

"Pada peringkat awal saya bertudung, timbul rasa bimbang juga sekiranya ini akan memberi kesan kepada karier lakonan saya. Tapi, saya buka mata saya dan reda walaupun beberapa bulan tak ada tawaran memandangkan kita pun berdepan dengan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika itu," katanya.

Bercerita mengenai watak yang akan diterimanya selepas ini, Zila berkata, dia masih lagi terbuka sekiranya ditawarkan watak jahat.

"Walaupun bertudung, kita kena terima hakikat bahawa tak semua orang yang bertudung itu baik. Jadi, tak menjadi masalah untuk saya melakonkan watak jahat walaupun sekarang saya sudah bertudung," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Lelaki Itu Untukku 2 bersama Nur Risteena, Johan As'ari, Dotty dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 4:35 PM