AKSI Nad bersama Puteri Balkis.
AKSI Nad bersama Puteri Balkis.
Oleh Shakilawati Abd Rahman


Watak gadis autisme menarik minat Nad Zainal menerima tawaran membintangi telefilem Andai Bukan Khilaf karya dan arahan Raja Ahmad Alaudin.

Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin puas hati apabila penantiannya untuk menjayakan naskhah berat akhirnya jadi kenyataan.

Andai Bukan Khilaf naskhah berat yang dicari-carinya selama ini, lebih menggembirakan apabila berpeluang menjiwai watak yang belum pernah dilakonkannya sebelum ini.

Ia mengisahkan gadis autisme lakonan Nad yang sesat di Kuala Lumpur dan berkawan dengan kanak-kanak terbiar (Puteri Balqis).

Lokasi penggambaran pula di beberapa lokasi ‘hitam’ di sekitar Chow Kit, bawah jambatan dan motel di ibu kota yang menjadi sarang pelacuran.

“Apabila berada di lokasi berkenaan, ia membuka mata saya, sekali gus bersyukur dengan kehidupan dilalui. Ia juga membuatkan saya lebih senang menjiwai watak.

“Ada babak di mana saya dan Puteri Balqis beratur dengan gelandangan untuk ambil makanan yang disediakan badan bukan kerajaan (NGO). Produksi sudah mendapatkan kebenaran untuk merakam babak itu dan kami merasai sendiri bagaimana suasana itu,” katanya.

Pelakon lulusan Diploma Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ini turut merasai pengalaman bergaul dengan anak terbiar dan pelacur.

Katanya, kehidupan gelandangan meruntun hatinya dan ia perkara baru yang belum pernah disaksikannya selama ini, hanya sekadar mendengar cerita orang.

“Baru saya tahu sebenarnya ramai orang tidak bernasib baik di Kuala Lumpur. Paling sedih bila tengok anak kecil hidup terbiar. Mereka dahagakan perhatian dan bila nampak kehadiran kami, semua keluar dan cuba mendekati.

“Mereka sangat ramah dan suka dimanjakan. Sepanjang kami di situ, tak nampak kelibat ibu bapa mereka. Saya kasihan dengan mereka. Pada waktu kanak-kanak lain sudah tidur, mereka masih berlegar-legar mencari makanan.

“Bergaul dengan kanak-kanak ini menyedarkan saya banyak perkara dan lebih mensyukuri apa yang saya ada selama ini. Begitu juga setiap kali melihat warga emas hidup terbiar dan tidur di kaki lima. Saya tidak sampai hati,” katanya.

Selain itu, kata Nad, berlaku insiden menakutkan apabila menyaksikan penagih dadah bergaduh berebut kawasan. Itulah pengalaman pertamanya melihat keadaan seumpamanya.

Ada juga penagih kurang senang dengan kehadiran produksi dan minta penggambaran dihentikan. Enggan berlaku kejadian bukan-bukan, produksi menghormati permintaan itu dan menyambung semula apabila keadaan dipastikan selamat.

Selesai penggambaran telefilem itu, Nad berpindah ke lokasi filem bebas genre seram, Aku Haus Darah Mu yang dijangka menjengah pawagam, Disember depan.

Nad memegang watak pelajar yang ingin mendalami tarian pemujaan daripada wanita misteri lakonan Deanna Yussof.

Filem ini berlatarkan zaman 1980-an dan itu antara sebab me­ngapa Nad terima tawaran selain ingin berlakon di samping Deanna.

Untuk mejayakan watak Lia, Nad masuk kelas tarian bermula Khamis lalu. Katanya, dia boleh menari tapi tidak mahir dan anggap ia cabaran besar selain kelainan watak yang dicari.

“Ini kali pertama saya berpeluang berlakon filem period. Apabila berlatarkan 1980-an, saya berpeluang kembali ke zaman itu. Tak sabar rasanya pakai baju zaman 1980-an dan naik kenderaan popular ketika itu,” katanya.

Nad juga berharap dapat menyertai bengkel skrip dan pengarahan tahun ini. Meskipun pernah mengarah teater ketika menuntut di ASWARA, skil itu perlu dipertingkat jika mahu menghasilkan karya untuk layar lebar dan TV.

Sasarannya mahu duduk di kerusi pengarah satu hari nanti dan mengarah filem pendek tahun depan. Nad juga berharap dapat menjayakan teater tahun ini kerana sudah lama tidak beraksi di pentas teater. Baginya, teater tempat terbaik mengasah skil lakonan.

Nad juga baru-baru ini dilantik sebagai duta produk sandal keluaran Femesfactory selama tiga bulan bermula bulan ini.

Menerusi kempen #FEMESxNADZAINAL 2015, pelakon kelahiran Kajang, Selangor ini akan turun padang mempromosi koleksi terhad mengetengahkan lima warna pastel iaitu merah jambu, biru, kuning, ungu dan hijau pudina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mac 2015 @ 5:07 AM