Syamsul bersama Tun Ali. Foto dari Instagram Syamsul Yusof
Syamsul bersama Tun Ali. Foto dari Instagram Syamsul Yusof
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul Yusof, 38, teruja bakal terbabit dengan projek besar yang baginya akan mengharumkan industri perfileman tanah air yang bakal diumumkan pada Sabtu ini.

Syamsul berkata ia rezeki yang tidak diduganya dalam usaha terus berjuang untuk memartabatkan industri perfileman tanah air ke peringkat antarabangsa dan dunia menerusi perbincangan dengan pembesar negeri dan pihak-pihak tertentu yang berminat.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT dengan segala rahmat dan rezeki-Nya. Saya sangat teruja serta terharu apabila perjuangan untuk memartabatkan industri perfileman tanah air semakin mendapat perhatian ramai daripada pelbagai pihak termasuk, pembesar negeri.

"Semalam, saya berkesempatan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang sedia bekerjasama dengan saya untuk mengangkat filem kita, termasuk mengangkat agama dan bangsa juga.

"Beliau ada perspektifnya sendiri dalam sudut agama dan bangsa itu. Bagaimana cara membawa bangsa Melayu dan agama Islam ke serata dunia. Ini satu projek yang besar dan masih dalam proses serta perbincangan. Tapi, insya Allah ke arah yang positif. Apapun, beliau sangat memberi sokongan setakat ini," katanya kepada Harian Metro.

Syamsul berkata Tun Ali juga mahu bertemu dengannya dan pasukannya lagi untuk tahu apakah langkah dan tindakan selanjutnya, termasuk apa-apa saja idea baharu yang boleh dikongsikan untuk kerjasama itu.

Terdahulu, menerusi kejayaan luar biasa dan fenomena dicetuskan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Syamsul berjaya melakar sejarah tersendiri dalam industri perfileman Melayu apabila karya epik sentuhannya itu berjaya mencatat kutipan 'box-office' melebihi RM96 juta untuk tayangan pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Jumlah kutipan itu juga, sekali gus membawa satu penanda aras baharu untuk filem Melayu apabila berjaya menyingkirkan penguasaan kutipan filem Hollywood, Avengers: Endgame yang mengumpul kutipan 'box-office' di Malaysia sebanyak RM87 juta pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:31 PM