INDUSTRI perfileman tanah air dan panggung wayang kembali hidup selepas suram akibat penularan Covid-19 sebelum ini - terima kasih filem Mat Kilau.
INDUSTRI perfileman tanah air dan panggung wayang kembali hidup selepas suram akibat penularan Covid-19 sebelum ini - terima kasih filem Mat Kilau.
Norhayati Nordin


Sejak filem epik Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam terpilih di Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 23 Jun lalu, sana sini ia diperkatakan ramai.

Malah, bukan hanya kisah filem ini saja yang jadi perhatian masyarakat dengan kejayaan kutipan box office sudah melebihi RM71 juta sekarang, tetapi kemelut rumah tangga pengarahnya, Syamsul Yusof juga meledak hangat.

Apapun yang berlaku kepada Syamsul kini dengan kejayaan besar diraih dalam kariernya dan ujian rumah tangga, semua itu takdir yang tertulis dan kita yang mengikuti kisah itu harus mendoakan yang baik-baik saja.

Cuma, kejayaan luar biasa filem Mat Kilau ini secara tidak langsung kembali menyinarkan semula industri perfileman tanah air dan panggung wayang yang suram akibat penularan Covid-19 selama dua tahun ini.

Industri hiburan antara terjejas teruk namun fasa endemik negara sekarang ini sedikit sebanyak membawa nafas baharu untuk ia tumbuh menghijau semula. Ia dapat dilihat dengan penganjuran konsert-konsert besar dan tayangan filem hebat di pawagam.

Sambutan diterima daripada khalayak kini positif dan menggalakkan. Jadi, penggiat seni harus mengambil peluang menghasilkan karya filem yang kreatif, terbaik dan memenuhi cita rasa penonton. Sebagaimana kata Syamsul ketika pertemuan kami baru-baru ini, dengan bermodalkan RM1 juta sebenarnya pembikin filem bebas boleh menghasilkan karya yang mampu mengaut keuntungan sehingga RM10 juta.

"Percaya cakap saya, anda (pembikin filem bebas) boleh melakukannya, tapi kena study penonton. Malah, kena buang ego juga. Mungkin, ada sebahagian anda tidak bersetuju dengan saya 100 peratus sebab saya pun tak sempurna, tapi ini untuk majukan industri filem. Sampai bila kita nak industri filem Malaysia ada di sini saja. Sampai bila? Kita kena berubah, kena bersatu dan hormat hasil kerja satu sama lain," katanya mengakui terbuka menerima pendapat dan kecaman.

Syamsul berkata, sudah tiba masanya pembikin filem kita lebih bijak. Dia bersuara bukan menunjukkan diri bagus dan sempurna kerana hingga kini dia masih lagi tetap belajar dengan membuat kajian-kajian sendiri.

"Senang contoh macam inilah, kita jual nasi lemak tapi tak ada orang beli. Kedai di hadapan pula yang jual nasi lemak juga, laku. Kenapa laku? Buang ego, pergi beli nasi lemak dia dan belajarlah. Tapi, diri sendiri yang tak nak.

"Kata lagi, orang itu tak tahu apa dan dia boleh berjaya, sebab kedai itu ayah dia punya. Kalau dah pemikirannya sebegitu, memang tak boleh nak buat apalah. Jadi, terpulanglah atas diri sendiri," katanya.

Syamsul yang membesar dalam industri seni berkata, nak jadi pembikin filem berjaya kena ada minat, usaha keras dan kreatif dalam berkarya.

Katanya, di Malaysia ada banyak benda yang boleh diketengahkan dalam karya, tapi kena kreatif.

Mengulas mengenai penggunaan strategi pemasaran besar, Syamsul berkata, sebelum ini ramai mendakwa filemnya berjaya kerana sudah mengatur strategi promosi dan pemasaran yang luas.

"Sebenarnya untuk strategi pemasaran yang besar, saya tak buat. Ada pernah nampak iklan filem saya seperti Munafik 2 dan Mat Kilau ini di billboard tepi lebuh raya, memang tak ada.

"Tapi, kejayaan filem ini saya peroleh kerana yakin dan percaya pada produk dihasilkan. Kalau produk itu baik, stesen radio, stesen televisyen dan pihak media sendiri bantu promosikan seperti Mat Kilau ini. Begitu juga dari komen mulut ke mulut orang ramai.

"Saya juga tak bayar untuk promosi trailer filem. Tapi, orang yang cakapkan best atau tidak, dan itu semua (promosi) datang sendiri. Ini kuasa produk yang dihasilkan sebaik mungkin. Jadi, kena yakin dengan produk kita," katanya sedia berkongsi tip dengan pembikin filem lain.

Dengan kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan ini boleh dikatakan satu penanda aras baharu pencapaian filem hasil sentuhan anak tempatan. Selain itu, sentiasa memanjatkan rasa syukur juga penting agar tidak lalai dengan kejayaan dinikmati. Industri filem Malaysia boleh bergerak maju kerana kerajaan membantu menyediakan dana untuk pembikin filem tempatan berkarya. Cuma, pengurusan dana oleh pihak bertanggungjawab itu perlu telus kepada penerima yang layak. Sekarang, sudah tiba masanya juga industri filem Malaysia bertukar corak dan pembikin filem bersedia dengan citarasa penonton yang pelbagai. Penonton memang ada segelintirnya cerewet dan itu cabaran buat pembikin filem.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 7:00 AM