Pengarah filem Mat Kilau, Shamsul Yusof. FOTO Azhar Ramli
Pengarah filem Mat Kilau, Shamsul Yusof. FOTO Azhar Ramli

Kuala Lumpur: "Saya hargai anda semua. Serius! Semoga terus berjaya dan semoga kita semua dapat terus hasilkan filem terbaik untuk industri filem Malaysia," kata Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof.

Syamsul mengakui tersentuh dengan pelbagai komen di media sosial mengenai filem itu selepas ia ditayangkan di platform digital Netflix baru-baru ini.

Dalam hantaran video di Instagramnya, Syamsul akan terus memperbaiki segala kekurangan dan menerima segala komen dengan terbuka.

Syamsul turut mengajak pembikin filem tanah air untuk terus menghasilkan filem yang berkualiti untuk industri.

"Teruskan bercakap, teruskan menciap (tweeting) mengenai filem saya, Mat Kilau. Sekarang, ia ditayangkan di Netflix, seluruh dunia." katanya.

Dalam video sama, Syamsul juga mengajak pengikutnya di platform media sosial itu untuk menyokong filem Abang Long Fadil 3, arahan adiknya, Syafiq Yusof.

"Filem Abang Long Fadil 3 sedang ditayangkan di pawagam. Silalah pergi serbu. Ia adalah filem aksi komedi terbaik dalam tahun ini," katanya.

Filem Mat Kilau yang dibintangi Datuk Adi Putra, Beto Kusyairi, Fattah Amin dan ramai lagi mencecah jumlah kutipan hampir RM100 juta sekali gus menjadi filem dengan kutipan paling tinggi dalam sejarah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 2:06 PM