WAN Maimunah ketika ditemui di lokasi penggambaran Dosa Tak Terampun. FOTO Fariz Iswadi Ismail
WAN Maimunah ketika ditemui di lokasi penggambaran Dosa Tak Terampun. FOTO Fariz Iswadi Ismail
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon air mata, Wan Maimunah memohon maaf kepada semua pihak dan reda jika dia tidak kembali ke sini lagi selepas berangkat mengerjakan umrah pada 1 Disember ini.

"Saya susun 10 jari kepada semua, saya mohon ampun dan maaf atas segala kesalahan saya. Halalkan segalanya.

Kepada anda semua, saya maafkan dan ampunkan.

"Andai kata benda ini benar-benar berlaku, saya takkan kembali lagi. Allah ambil balik hak Dia. Itu semua kehendak-Nya," katanya.

Wan ketika ditemui di lokasi penggambaran Dosa Tak Terampun berkata, dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu ketika menjalani penggambaran di Baling, Kedah beberapa bulan lalu dan dimaklumkan mengenai penajaan umrah itu.

"Orang itu maklumkan bahawa ada hamba Allah ingin menaja saya untuk menunaikan umrah dan dia bertanya, sama ada saya nak atau tidak. Subhanallah. Siapa yang tak mahu dan saya terus menangis," katanya.

Menurut Wan, dia menyimpan hasrat untuk mempersiapkan pakaian berwarna putih untuk umrah kali ini.

"Kali ini saya nak buat semua warna putih. Nak pakai serba putih di sana. Sebelum ini, saya dah pernah menunaikan umrah dah ada pakai pakaian warna selain putih juga.

"Ada yang bertanya, kenapa perlu beli dan buat pakaian baharu sedangkan sebelum ini dah pernah menunaikan umrah?

"Saya istighfar. Saya cakap, kalau ada kenduri, majlis atau Aidilfitri, kenapa kita boleh buat persiapan mahal, tetapi bukan untuk menjadi tetamu Allah?," katanya.

Wan akan berangkat ke Makkah pada 1 Disember ini dari Alor Setar bersama jemaah-jemaah lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 2:46 PM