AKAN tampil dengan sembilan lagi filem pendek bersama Yayasan Ammirul Ummah.
AKAN tampil dengan sembilan lagi filem pendek bersama Yayasan Ammirul Ummah.
Ridzuan Abdul Rahman


Bekerja dengan pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud menuntut cabaran tersendiri serta komitmen jitu.

Justeru, tidak hairan walaupun hanya menghasilkan filem pendek berjudul Aidil & Atok yang berdurasi 15 minit, Fauziah atau lebih sinonim dengan panggilan Ogy tetap serius tidak memandang ringan berkenaan pembikinannya.

Ogy mengakui menghasilkan filem pendek lebih susah berbanding filem cereka yang biasa diarahkannya.

"Aidil & Atok adalah filem pendek kedua arahan saya terbitan Yayasan Ammirul Ummah selepas Iqra. Kerjasama kami terjalin bermula sejak dua tahun lalu apabila saya dipelawa sebagai 'premier volunteer' untuk pertubuhan bukan kerajaan ini.

"Mereka menjemput saya sebagai 'premier volunteer' sejak dua tahun lalu, semata-mata untuk saya buat hantaran berkenaan misi dan aktiviti kebajikan mereka di media sosial," katanya pada sidang media dan sesi pratonton Aidil & Atok di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Sebagai individu yang sering terbabit dalam kegiatan begini, Ogy melihat ia terlalu klise dan kurang memberi kesan terhadap masyarakat.

"Setakat reviu saja tak impak sangat kerana saya melihat sebagai seorang penonton. Ia akan nampak berbeza kalau kita paparkan misi dan kegiatan kebajikan mereka menggunakan platform filem.

"Alhamdulillah, cadangan saya diterima. Ini baru dua, saya ada sembilan projek filem bersama mereka yang belum dibuat, semuanya sebelas," katanya.

OGY bersama Roslen (kiri), Zaidi (kanan) dan dua pelakon kanak-kanak filem pendek Aidil & Atok.
OGY bersama Roslen (kiri), Zaidi (kanan) dan dua pelakon kanak-kanak filem pendek Aidil & Atok.

Mengenai Iqra, Ogy tetap menyifatkannya sebuah filem, tetapi 'storyline' berbeza kerana rata-rata pelakon adalah pelajarnya.

"Objektifnya mudah saja, sebab kami nak mendidik masyarakat, tapi bukan mendidik dengan cara 'hardcore' seperti bercakap berkenaan halal dan haram saja dalam Islam ini.

"Kami nak mendidik masyarakat berkenaan keindahan Islam yang hadir dalam kehidupan kita melalui ajaran Nabi Muhamad SAW. Itu yang saya lihat dan mendorong saya apabila berkaitan agama.

"Kenapa hanya tertumpu kepada satu subjek, dari sudut halal haram dan menutup aurat. Bagaimana anda mengupas benda itu dan membuat orang faham dari kaca mata siapa. Macam dalam filem Aidil & Atok, saya tonjolkan dari kaca mata si budak itu, tetapi subjeknya bila didikan itu bermula dari rumah. Bila ada benih yang baik, kita pun akan jadi baik," katanya.

Menurutnya, dia kini lebih terarah menghasilkan karya berbentuk Islamik seperti telefilem Mencari Al-Zahra, lakonan adiknya, Fazlina.

"Sekarang ini wawasan saya adalah nak ke arah itu. Bila saya banyak mengarah, secara tak langsung dapat memberi ruang dan peluang kepada generasi baharu untuk terbabit sama.

"Tidak semestinya bila mengarah, saya ambil pelajar sendiri kerana saya lebih mengutamakan kesesuaian. Untuk filem ini saya yang buat keputusan nakkan Zaidi Omar untuk watak Atok. Dia salah seorang pelakon yang saya kagumi kerana penjiwaannya bila berlakon," katanya.

Menurut Ogy, amat mudah mengarah orang yang memahami apa itu kerja pelakon kerana dia pasti membuat persiapan.

"Macam dua pelakon kanak-kanak dalam Aidil & Atok, kita kena bagi mereka faham dan ia cabaran untuk kami juga. Kami kena bagi mereka faham apa sebenarnya adegan itu dan kenapa dialog itu ditulis begitu.

"Bila kami dapat memberi kefahaman kepada mereka, ia memberi rasa yang jujur. Berlakon dengan budak bukan mudah.

"Sebagai pengarah dan bergelar penerbit, kami kena tahu mengenai pengurusan masa. Kami tidak boleh duduk hanya sebagai penerbit dan pengarah 'action' dan 'cut', tak boleh," katanya. Kita lebih menekankan kepada perbincangan sebelum turun set.

"Walaupun hanya beberapa babak dan bila sudah siap, saya 'lock' dan terus cari lokasi. Aidil & Atok menggunakan lokasi berdekatan untuk tidak buang masa. Contohnya, masjid di Kundang, manakala rumah di Laman Dayung di Kuang.

"Jadi, ambil masa 15 minit untuk ke sana. Kami terpaksa selesaikan penggambaran sampai 1.30 pagi sebab siangnya hujan. Penggambaran hanya ambil masa sehari," katanya.

Ogy yang mempraktikkan cara kerja gurunya, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin menggunakan khidmat Roslen Fadzil sebagai penulis skrip.

Filem yang menampilkan Zaidi Omar sebagai Atok, Aiman Badrul (Aidil) dan Alexander Zulkarnain itu dapat ditonton di saluran YouTube Fatijja TV.

Aidil & Atok dihasilkan bagi menyokong usaha pihak Yayasan Ammirul Ummahdalam mendekati masyarakat menerusi seni dan media sosial.

Menerusi filem ini juga diselitkan elemen kasih sayang dalam kekeluargaan serta pembentukan akhlak murni seawal usia kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 6:30 AM