AYA dan Dotie berlakon sebagai puntianak.
AYA dan Dotie berlakon sebagai puntianak.
Ridzuan Abdul Rahman


PENGALAMAN ditipu pihak yang berjanji memberi dana sememangnya satu pengalaman pahit buat pengarah dan penerbit, Shuhaimi Lua Abdullah.

Menurutnya, ketika itu dia sudah menyiapkan pra-produksi merangkumi tenaga kerja, tempahan pelakon dan sudah mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk kos permulaan sebanyak RM50,000.

"Alih-alih apabila dihubungi dan hantar mesej, dia langsung tak respon dan saya tahu dah kena tipu. Bermula dari situ, saya dah tahu siapa yang betul-betul nak beri dana atau sekadar nak berangan dan suka-suka.

"Saya berkata kepada diri sendiri, insya-Allah peluang akan tiba juga bila sampai masanya. Allah SWT akan beri peluang kepada umatnya yang tak pernah kenal erti putus asa.

"Alhamdulillah apabila MIG tawarkan saya untuk mengarah supertele bertajuk Pontianak 100Kg. Saya sendiri bila dengar tajuknya rasa sangat kelakar. Saya tak fikir apa-apa pun dan buat kerja saya saja," katanya.

Lulusan bidang komunikasi dari Universiti Sains Malaysia ini mengakui apabila supertele ini ditayangkan menerusi tonton, sambutannya mengejutkan apabila berjaya menjadi 'trending'.

"Dari sinilah pihak pengurusan Media Prima Berhad putuskan untuk buat filem dengan judul Pontianak 200Kg. Saya mula membuat beberapa persiapan kecil untuk mengarah filem sulung saya.

"Tiga bulan saya berhenti dari sebarang penggambaran untuk beri fokus kepada filem ini. Penggambaran bermula penghujung September tahun lalu dan syukur berjaya dihabiskan dengan lancar.

"Saya gembira selepas sekian lama mengarah drama, saya kini akhirnya bergelar seorang pengarah filem. Saya ingat lagi masa awal pengarahan, saya pernah diboikot oleh seorang produser tanpa sebab, tapi saya tenang saja," katanya.

Shuhaimi berkata, dia berpegang pada prinsip rezeki daripada Allah SWT, bukan di tangan manusia.

"Tak baik mengambil kerja-kerja Tuhan dengan memboikot orang dengan tujuan menutup periuk nasinya," katanya.

Mengimbas pengalamannya selepas menamatkan pengajian, kemerosotan ekonomi memaksa Shuhaimi bekerja dengan syarikat korporat.

"Selepas tujuh tahun bekerja, timbul minat yang meluap-luap untuk mengarah. Saya akhirnya sertai FDAM (Persatuan Pengarah Filem Malaysia) untuk menggali semula ilmu pengarahan dan banyak masuk kelas anjuran Finas.

"Saya mula mengorak langkah dengan buat filem pendek berjudul Chukang dan selepas itu arahkan telefilem Perempuan Tanpa Rahim yang ditayangkan pada Aidilfitri ketujuh di TV3 pada 2012.

"Saya amat berterima kasih kepada TV3 kerana banyak memberi peluang saya mengarah dan menerbitkan produk untuk mereka," katanya.

Shuhaimi berkata, dia kini tidak sabar menantikan filem sulungnya hasil kerjasama MIG Production Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd di pawagam.

"Saya berharap penonton menyokong filem yang membariskan pelakon seperti Aya Amiruddin, Dotie, Wanns Ahmad, Niezam Zaidi, Ropie, Marlia Baby, Ziana Zain, Apirth Low dan ramai lagi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 6:46 AM