KEADAAN rumah penduduk selepas banjir surut. FOTO ROSELAN AB MALEK
KEADAAN rumah penduduk selepas banjir surut. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


SERAMAI 17 keluarga membabitkan 73 individu di Ulu Atok, Raub terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas hujan lebat malam semalam menyebabkan rumah mereka dinaiki air sedalam 1 hingga 1.5 meter, sekelip mata.

Mereka terpaksa berpindah pada waktu tengah malam ke pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Ulu Atok dengan bantuan pasukan Bomba.

Seorang penduduk, Muhammad Ali, 68 berkata hujan lebat bermula selepas waktu berbuka puasa namun dia tidak menyangka air naik dengan cepat.

"Pada jam 10 malam, air mula memasuki ruang dapur rumah saya yang rendah. Saya cuba juga menyelamatkan beberapa perkakas dapur dengan memindahkannya ke tempat yang lebih tinggi.

"Namun air naik dengan cepat sehingga ke paras pinggang dan saya tidak mampu berbuat apa dan terpaksa berpindah apabila diarahkan oleh bomba," katanya.

Menurutnya keadaan itu berlaku kerana Empangan Sungai Ulu Atok tidak dibuka dan menyebabkan ia cepat melimpah ke rumah penduduk.

Sementara itu, Sahabuddin Ismail, 39, berkata selain empangan sungai yang tidak dibuka, keadaan banjir itu juga disebabkan oleh sungai yang semakin sempit.

"Saya berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera dengan mendalamkan Sungai Ulu Atok yang semakin sempit dan cetek.

"Sebelum ini sudah ada kerja membersihkan sungai oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) iaitu membersihkan rumput di sekitar sungai namun ia tidak memadai," katanya.

Penghulu Ulu Atok, Amad Sira Abd Rahman, berkata ramai penduduk tidak sempat menyelamatkan barangan milik mereka malah beberapa kenderaan milik penduduk juga tenggelam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2020 @ 7:07 PM