FAUZIAH (tengah) bersama penggiat seni yang hadir pada majlis Program Wakaf 10,000 Naskhah Al-Quran, baru-baru ini.
FAUZIAH (tengah) bersama penggiat seni yang hadir pada majlis Program Wakaf 10,000 Naskhah Al-Quran, baru-baru ini.
Najiy Jefri


SEBUAH pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Ammirul Ummah atau YAU yang berpangkalan di Terengganu melancarkan Program Wakaf 10,000 Naskhah Al-Quran bagi mempertingkatkan pembangunan Islamiah di rantau Asia Tenggara.

Program itu dilancarkan Pengarah Urusan YAU, Ibrahim Ridhwan Ismail bersama sukarelawan perdana YAU, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy di Masjid Al Hidayah, Taman Melawati, Hulu Klang, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu, barisan penggiat seni lain seperti Kismah Johar, S Atan, Sandakiah Aziz, Aiman Badrul dan Zaidi Omar.

Ibrahim berkata, kesemua 10,000 naskhah al-Quran yang mempunyai terjemahan itu akan diwakafkan ke Jawa Barat, Indonesia. Ia sekali gus melengkapkan jumlah 50,000 naskhah yang diwakafkan kepada pelbagai pihak tahun ini.

"Tahun lalu (2021), sebanyak 135,000 naskhah sudah kami wakafkan kepada umat Islam Indonesia seperti di Lombok, Sulawesi Utara, Bali, Papua Barat, Maluku dan Riau," katanya.

Menurut Ibrahim, segala program kebajikan yang dibuat atau disertai oleh YAU adalah menerusi sumbangan derma diterima daripada individu dan badan korporat.

YAU yang ditubuhkan pada 22 April 2001 menjalankan pelbagai program amal bagi membantu masyarakat Islam di Malaysia dan luar negara.

Ia merangkumi program bercorak kemanusiaan, pembangunan sosio- ekonomi dan kesihatan. Ini termasuk wakaf al-Quran, wakaf masjid, bantuan bencana alam, sumbangan bakul makanan untuk asnaf dan pelajar miskin serta sumbangan kerusi roda.

Ibrahim berkata, sehingga kini YAU juga sudah membina empat masjid di Indonesia dan menyelenggara banyak masjid di sekitar Terengganu daripada segi kemudahan tandas.

"Sebanyak enam masjid sudah siap dibina di Indonesia iaitu Masjid Al Ma'mun di Garut, Masjid Nurul Jihad (Lombok), Masjid Darussalam (Jakarta), Masjid Al Ikhlas (Tasik Malaya), Masjid Az Zikri (Medan) dan Masjid Darul Ibtida (Serang).

"Masjid lain yang sedang dibina adalah Masjid Al Mukarramah di Buton, Masjid Miftahul Jannah (Donggola), Masjid Nurul Mujahidin (Luwu) dan Masjid Miftahussudur (Nusa Tenggara).

"Kos membina masjid di Indonesia sekitar RM300,000, namun di Malaysia kosnya sekali ganda lebih tinggi. Jadi, kami lebih fokus kepada penyelenggaraan masjid di negara kita khususnya di Terengganu," katanya yang turut menyalurkan bakul makanan kepada warga Palestin, Sri Lanka selain rakyat tempatan.

Pada majlis pelancaran itu, turut dianjurkan Kuliah Duha yang disampaikan oleh PU Syed Mohd Bakri Syed Ishak yang tampil berkongsi ilmu bermanfaat mengenai amalan bersedekah.

Sebelum ini, YAU juga pernah menerbitkan dua filem pendek dakwah iaitu Iqra' serta Aidil & Atok arahan Ogy.

Sementara itu, orang ramai juga boleh memberi sumbangan kepada mangsa gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat. Sebarang sumbangan kepada YAU boleh disalurkan ke akaun Maybank (563019271201) atau CIMB (8603 338218).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 6:54 AM