Pelakon, Hasnul Rahmat hadir pada malam tayangan perdana Jerangkung Dalam Almari di GSC Tropicana Gardens Mall. FOTO Aziah Azmee
Pelakon, Hasnul Rahmat hadir pada malam tayangan perdana Jerangkung Dalam Almari di GSC Tropicana Gardens Mall. FOTO Aziah Azmee
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon Hasnul Rahmat bersyukur apabila kehadirannya dalam industri seni hiburan selama lebih 30 tahun dikelilingi oleh insan-insan yang berhati mulia.

Hasnul berkata, dia tidak pernah berdepan sebarang kejadian aneh seperti di sihir oleh individu tidak dikenali untuk menjatuhkan karier seninya.

"Saya tak tahu mengenai perkara itu, tapi selagi kita buat kerja dan tak ganggu orang lain, semuanya akan baik.

"Saya harap dengan niat yang baik, orang akan hargai dan ingat saya sampai saya sudah tiada nanti," katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Jerangkung Dalam Almari, baru-baru ini.

Ditanya mengenai gangguan mistik yang pernah dialami sepanjang terbabit dalam filem bergenre seram, Hasnul berkata, makhluk seperti itu wujud di mana-mana.

"Kat mana-mana pun wujud makhluk seperti ini, tapi bergantung kepada diri individu itu sendiri.

"Sebagai pelakon kita perlu tahu setiap gangguan yang datang ketika menjalani proses penggambaran. Kalau diganggu oleh benda-benda mistik kita kena kekal tenang dan selesaikan kerja itu," katanya.

Selain Hasnul, filem Jerangkung Dalam Almari menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Datuk Adi Putra, Sophia Albarakbah, Wan Hanafi Su, Anne Abdullah, Zaidi Omar dan Amerul Affendi.

Bakal menghantui penonton di pawagam seluruh negara bermula 4 Ogos ini, filem berkenaan menyorot kisah tentang Fikri lakonan Adi yang tidak tenteram akibat gangguan lembaga dari dalam sebuah almari.

Gangguan terbabit turut mengancam nyawa isterinya, Shikin lakonan (Sophia Albarakbah) dan anak mereka, Adam (Isaac Iman).

Antara jalan cerita yang dipaparkan, kisah tiga orang adik-beradik yang membiarkan syaitan bermaharajalela dalam dada mereka sehingga berdendam dan prasangka terhadap diri masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 4:26 PM