EWAL tertarik pada rentak muzik penyanyi legenda itu sejak kecil.
EWAL tertarik pada rentak muzik penyanyi legenda itu sejak kecil.
Ardini Sophia Sina


Perjalanan karier Ewal Ismail, 24, bermula sejak kanak-kanak lagi. Melihat kejayaan penyanyi Michael Jackson sejak usianya tiga tahun, nyata menarik perhatiannya.

Mungkin pada pandangan umum, kanak-kanak sekecil itu mudah tertarik pada semua jenis muzik. Pasanglah apa saja rentak muzik sekalipun, anak kecil pasti menggoyangkan tubuhnya mengikut rentak.

Namun bagi Ewal, selepas menonton klip lagu Ghosts yang menjadi runut bunyi filem pendek Michael Jackson’s Ghosts, ia menjadi titik permulaan timbulnya rasa minat itu.

Kata Ewal, penyanyi itu banyak mempengaruhi caranya mengendalikan kerjaya serta mencorakkan kanvas seninya.

Walaupun tidak sempat menghadiri konsertnya, Ewal atau Ikhwal Hafiz Ismail, mempunyai koleksi cakera padat rakaman konsert idolanya itu.

“Mati hidup balik pun saya tetap akan minat Michael Jackson. Bukanlah Malaysia tidak ada penyanyi hebat tetapi harus diakui Hollywood adalah ibu seni. Semuanya berpusat di sana dan ramai penyanyi terkenal, berbakat serta berkualiti lahir dari Hollywood.

“Saya mempunyai cakera padat dan kaset lagu-lagu Michael Jackson. Malah, keratan akhbar pun saya akan gunting dan simpan dalam fail. Andai ada buku yang menceritakan kehidupannya atau dokumentari, saya akan beli,” katanya.

Bukan hanya album atau video menjadi koleksi Ewal, malah dia akui perkara paling gila yang pernah dilakukannya ialah membeli patung Michael Jackson edisi terhad pada 2008.

Katanya, cuma ada 100 saja dan dia orang kelapan di dunia yang memiliki patung itu.

“Ketika itu harganya mencecah empat angka dan ibu ada juga bising tetapi saya beli satu saja cukup sekadar ada. Saya bukanlah pengumpul koleksi patung Michael Jackson.

“Walaupun sekadar patung dan diletakkan menjadi hiasan, ia sangat bermakna buat saya. Ia menjadi tanda kekaguman saya terhadapnya yang benar-benar mencintai dunia nyanyian,” katanya.

Ewal juga tidak peduli apabila ada mengatakan membeli cakera padat, kaset, buku dan semua membabitkan penyanyi kesayangannya itu umpama menabur duit pada benda yang merugikan.

Baginya, ia bukan sekadar hiburan tetapi pelaburan menimba ilmu. Setiap lagu nyanyian Jackson, Ewal akan ambil masa untuk cuba mendengar dan menyelidik bukan hanya lirik, malah cara nyanyian dan penghayatan.

“Saya tidak beli sekadar untuk simpanan dan dengar begitu saja. Apabila seseorang itu menjadi idola kita, sudah pasti kita ingin tahu perkara yang menyebabkan dia diterima dan menjadi idola semua orang di pelosok dunia.

“Dia penyanyi yang mempunyai jiwa hinggakan dengan hanya mendengar nyanyiannya sama ada menerusi radio atau melihat klip lagu, rasa itu sampai pada kita. Memang terus menusuk ke hati.

“Walaupun kita mungkin menyanyikan genre berlainan, tidak salah kita kaji muzik lain. Cara itulah kita menimba ilmu kemudian aplikasikan kerjaya kita pula,” katanya.

Kata bekas pelajar Akademi Fantasia 2014 (AF2014) itu, kualiti persembahan serta vokal boleh dipelajari dengan melihat cara penyanyi itu berada di pentas.

“Perkara seperti itulah yang harus dimiliki setiap penyanyi supaya muncul tidak hanya kerana lagu dinyanyikan mengikut tren.

“Saya belajar menyanyi sesebuah lagu itu dengan jiwa. Rasa cinta pada muzik dan perkara yang kita lakukan dapat membantu kita untuk terus bertahan. Saya ingin memperjuangkan muzik yang sememangnya sesuai dengan saya walaupun ia tidak mengikut selera pendengar.

“Michael Jackson penyanyi yang tahu apa yang dia buat. Ada ilmu dan menunjukkan semua kebolehan dan kualiti yang dia ada tanpa sekatan.

“Di Malaysia ada penyanyi seperti itu tetapi tidak mendapat peluang untuk menunjukkan apa yang dia ada,” katanya.

Cukup meminati lagu Man In The Mirror, anak bekas vokalis kumpulan Wings, Mel, kini sibuk dengan penggambaran drama Papa Ricky. Selain itu, dia juga menulis lagu untuk beberapa penyanyi tetapi masih pada peringkat perbincangan.

Sering memenuhi undangan majlis-majlis tertutup, Ewal juga menjadi salah seorang tenaga pengajar di Suara Academy milik Mark Adam. Dia bergerak selangkah lagi apabila bergelar ‘cikgu’ di pusat latihan vokal itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:04 AM