IQRAM Dinzly. FOTO Aziah Azmee
IQRAM Dinzly. FOTO Aziah Azmee
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Dalam usia 40-an, pelakon Iqram Dinzly, 41, sudah jelak dengan sikap panas baran, pemarah dan mahu berubah ke arah lebih baik.

Namun, Iqram berkata, niat untuk berubah ke arah lebih baik dan tenang itu diuji apabila dia perlu bergelut dengan perasaan untuk menjayakan watak Amirul dalam drama Cinta Hilang Kata.

"Ia bukanlah sesuatu yang mudah. Saya sendiri sudah penat dengan sikap panas baran yang mana jika silap cakap sikit saja sudah melantun.

"Oleh itu, saya cuba untuk memperbaiki diri dan tidak dibelenggu dengan sikap yang sama lagi. Namun, watak Amirul bertentangan dengan ketenangan yang cuba saya terapkan itu.

"Jadi, saya anggap watak kali ini sebagai cabaran dan ujian paling besar yang Allah SWT kurniakan kepada saya. Semuanya perlu saya lalui dalam proses untuk mematangkan saya menjadi seperti hari ini," katanya.

Katanya, keputusannya mewujudkan pelbagai watak dalam diri hanya sebagai eksperimen mental selain turut mengakui sengsara menjadi seorang Iqram Dinzly.

Sejak empat tahun lalu, Iqram mula mencuri perhatian netizen apabila muncul dengan tingkah laku aneh seperti berpakaian tidur wanita dan mempamerkan aksi tarian ghairah di media sosial menggunakan nama Prince Chiki Dinzly.

Tindakannya itu menerima pelbagai reaksi netizen yang melemparkan pelbagai kecaman sehingga dilabel sebagai kurang siuman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 5:23 PM