UQASHA.
UQASHA.
Oleh Wahi Aziz


Pelakon jelita, Uqasha Senrose sekali lagi dihambat kontroversi.

Kali ini, pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 25, itu dikecam gara-gara dakwaan tidak bertudung dan berpenampilan seksi ketika bercuti di Koh Lipe, Thailand bersama pelakon, Iqram Dinzly.

Belum pun surut isu dia dikatakan ke kelab malam tanpa bertudung pada September tahun lalu, Uqasha sekali lagi dikecam pelbagai pihak.

Sudah seminggu isu gambar percutian bersama Iqram itu tersebar, namun Uqasha mengambil pendekatan mengunci mulut.

Ketika dipujuk RAP untuk mengulas hal itu, kakak pelakon, Nelydia Senrose ini berkata, dia selesa berdiam diri.

“Maaf, saya sibuk dengan pelbagai urusan. Saya tak mahu komen perkara ini,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, kelmarin.

Selebihnya, Uqasha yang dipercayai menjalin hubungan dengan Iqram sejak pertengahan tahun lalu itu enggan mengulas lanjut.

Sejak kes berkenaan kecoh, hanya Iqram yang tampil bersuara beberapa hari lalu apabila dia dilaporkan enggan mengulas lanjut isu gambar percutian berkenaan.

Iqram turut menegaskan sama ada sahih atau tidak gambar itu, sesama manusia harus menutup aib sendiri dan hanya Allah berhak menghukum seseorang.

Terdahulu, gosip hubungan pasangan itu mencuri tumpuan ramai namun kedua-duannya menafikan perkara terbabit.

Uqasha sebelum ini pernah bertunang dengan pelakon, Pekin Ibrahim namun hubungan itu terputus di tengah jalan dan tidak lama kemudian bercinta pula dengan pelakon, Syafiq Kyle.

Pada sekitar Ogos tahun lalu, Uqasha menjadi bualan forum di Internet kononnya dia ke kelab malam bersama rakan-rakannya dan dipercayai tidak bertudung. Sebaliknya, pelakon itu hanya memakai topi bagi mengelakkan orang ramai mengenalinya.

Dalam kenyataannya, aktres itu menegaskan ia khabar angin yang tidak masuk akal kerana dia tidak pernah ke kelab malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 8:05 AM