Kumpulan Arteh dianggotai Has (kiri) dan Dewa yang juga anak pelawak popular, Allahyarham Mr Os dan mereka dinobatkan juara program Mencari Sepahtu Yang Hilang. FOTO Instagram
Kumpulan Arteh dianggotai Has (kiri) dan Dewa yang juga anak pelawak popular, Allahyarham Mr Os dan mereka dinobatkan juara program Mencari Sepahtu Yang Hilang. FOTO Instagram
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Diharapkan semoga kami barisan pelawak baharu diberi peluang lebih banyak untuk tonjolkan bakat. Jangan risau, 'harga' tak mahal walaupun Arteh menyandang gelaran juara,"

Demikian kata Mohamad Hazwan Mohd Yusof atau Has, 31 iaitu salah seorang anggota kumpulan Arteh yang dinobatkan juara program Mencari Sepahtu Yang Hilang di Astro Warna pada Januari lalu.

Selain Mohamad Hazwan, Arteh juga dianggotai oleh Mohamad Hafizul Mohd Yusof, 26, atau Dewa, di mana kedua-dua mereka adalah anak kandung pelakon dan pelawak popular, Allahyarham Mr Os yang mewarisi bakat seni arwah.

Bagaimanapun, kumpulan Arteh mengaku kecewa dengan peluang terhad yang masih diterima oleh pelawak baharu seperti mereka untuk terus mengorak langkah dan menonjolkan bakat di pentas komedi tanah air, walaupun sudah bergelar juara.

Mohamad Hazwan berkata, rasa kecewa itu memang ada, namun Arteh sentiasa percaya kepada rezeki yang Allah tetapkan. Ujarnya, kalau ada rezeki dalam industri, maka adalah.

"Kalau orang nak panggil atau tak nak panggil, terpulanglah pada pihak berkenaan. Namun, pada saya gelaran juara disandang bukanlah 'tiket' untuk Arteh jadikan ia sebagai platform terus mendapat peluang mudah bagi menonjolkan bakat kami.

"Sebabnya, semua bergantung kepada nasib dan rezeki. Ada orang, apabila jadi juara terus meletop dan ada juga orang yang jadi juara kena lama menyepi dulu sebelum dikenali," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, apa yang pasti peluang-peluang untuk barisan pelawak baharu juga dilihat belum terlalu terbuka diberikan oleh pelbagai pihak tertentu untuk terus menonjolkan bakat komedi di persada hiburan.

Ditanya juga mengenai kerjasama dengan kumpulan Sepahtu, Mohamad Hazwan berkata, adiknya Dewa yang dipilih mewakili Arteh untuk terbabit dalam rakaman program Sepahtu Reunion musim lalu sebanyak 10 episod.

"Dewa hanya mengikat kontrak untuk program Sepahtu Reunion musim lalu saja untuk 10 episod dan bagi yang terbaharu ini, dia tidak dipanggil lagi. Buat masa ini, Arteh juga bergerak secara solo dan berdua mengikut tawaran persembahan diterima.

"Bagaimanapun, sebagai barisan pelawak baharu memang kami mahukan diberi banyak peluang oleh pihak-pihak stesen TV dan pentas persembahan. Ini kerana, Arteh bukan hanya boleh berlawak, tetapi kami juga menyanyi kerana ada single dan band sendiri," katanya.

Terdahulu, pelawak Shahrol Shiro, 37, menerusi perkongsian di Instagram meluahkan rasa kecewanya apabila melihat barisan pelawak baharu tidak ditonjolkan dalam program lawak disiar stesen TV.

Shahrol yang terkilan, menyelar tindakan pihak terbabit yang disifatkan tidak memanfaatkan bakat pelawak baharu, sekali gus memberi mereka peluang untuk mencipta nama sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 4:15 PM