BARISAN peserta yang bertanding dalam Mencari SepahtuYang Hilang bermula malam ini.
BARISAN peserta yang bertanding dalam Mencari SepahtuYang Hilang bermula malam ini.
Norhayati Nordin


SELAIN nyanyian dan lakonan, komedi juga menarik perhatian penonton di negara ini. Namun, di pentas Maharaja Lawak Mega setiap tahun, boleh dikata ia diisi oleh wajah-wajah pelawak yang sama dan bagaimana pula dengan peluang pelapis?

Seiring perubahan tahun yang berlalu, kini tiba masanya gelanggang untuk bakat-bakat baharu pelapis bidang komedi diperkenalkan.

Justeru, pada jam 9 malam ini adalah pembuka tirai persaingan program Mencari Sepahtu Yang Hilang yang disiarkan Astro Warna (saluran 107).

Seramai 28 peserta daripada 12 pasukan bertanding akan mempamerkan jenaka mereka secara solo, duo dan trio bagi menghiburkan kira-kira 20 orang penonton di Studio 1, Astro dan juga semua penonton di rumah.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Saleh berkata program Mencari Sepahtu Yang Hilang ini ialah pencarian bakat pelawak baharu yang diilhamkan oleh anggota kumpulan Sepahtu, sejak beberapa tahun lalu.

"Cuma, sekarang dilihat masa yang sangat sesuai untuk pihak Astro Warna menerbitkannya berikutan masih ramai bakat muda tempatan yang berminat dengan komedi. Malah, kami juga tidak menduga penyertaan peserta sangat menggalakkan.

"Lebih 1,000 penyertaan peserta merangkumi penampilan secara solo, duo dan berkumpulan (tidak melebihi tiga orang) diterima. Oleh itu, ia membuatkan kami yakin masih ramai bakat baharu dan muda perlu diketengahkan sebagai pelapis untuk masa depan bidang komedi tempatan," katanya.

Ditanya juga mengenai acuan atau konsep Mencari Sepahtu Yang Hilang dilihat seakan ada persamaan seperti MLM dan Raja Lawak, Norzeha tidak menolak kemungkinan itu kerana objektifnya tetap pencarian bakat.

"Kalau wujudnya serba sedikit persamaan itu, bagi saya perkara biasa kerana tiada program hiburan yang sempurna. Namun, saya yakin tetap ada elemen lain yang membezakan Mencari Sepahtu Yang Hilang dengan program sedia ada.

"Pada saya, Mencari Sepahtu Yang Hilang ini berbeza dari segi faktor mentor yang diwujudkan sebagai bantuan untuk membimbing peserta. Beberapa orang mentor yang disediakan ini memiliki pengalaman lebih 14 hingga 15 tahun dalam komedi.

"Malah, mereka (mentor) ini juga masih aktif dalam kerjaya seni sehingga kini dan boleh dikata relevan dalam industri. Jadi, kehadiran mentor ini amat penting untuk membentuk bakat-bakat pelapis yang terpilih.

"Apatah lagi, semua peserta Mencari Sepahtu Yang Hilang ini juga tidak pernah muncul di dalam mana-mana program televisyen dan pembabitan masing-masing adalah kali pertama serta memang tiada pengalaman," katanya.

Sehubungan itu, barisan peserta solo bertanding ialah Yusra dan Muslim. Manakala, duo pula diwakili Arteh, Joned, Spana dan Sebat, temasuk trio dibarisi kumpulan Gahai, Pitu, Sepan, San, Siji dan Takal.

Hadiah lumayan untuk direbut peseta Mencari Sepahtu Yang Hilang berupa wang tunai sebanyak RM30,000 untuk juara, RM15,000 (naib juara), RM9,000 (tempat ketiga), RM6,000 (keempat) dan RM3,000 (kelima) beserta trofi sumbangan Astro.

Bagi menilai persembahan peserta pada setiap minggu sebagai juri tetap, tanggungjawab berkenaan digalas anggota Sepahtu sendiri iaitu Jep, Rahim dan Pak Ya.

Apapun, Sepahtu turut memaklumkan pencarian bakat pelawak baharu ini juga tidak bertujuan untuk mereka mendapatkan pengganti Shuib, yang sebelum ini membuat keputusan menarik diri dari terus bersama kumpulan itu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 6:44 AM