Hazwan (kiri) dan Hafizul
Hazwan (kiri) dan Hafizul
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Dua anak lelaki pelawak popular, Allahyarham Mr Os iaitu Mohamad Hazwan Mohd Yusof, 30, dan Mohamad Hafizul Mohd Yusof, 25, menyahut cabaran bertanding dalam program Mencari Sepahtu Yang Hilang di saluran Astro Warna mulai 2 Disember ini.

Mereka yang tampil secara duo mewakili kumpulan Arteh itu berkata, dalam kalangan semua peserta yang bertanding memang tidak tahu mereka adalah anak kandung Allahyarham atau nama sebenarnya Mohd Yusof Hamid.

Hazwan berkata, ketika menyertai uji bakat secara dalam talian untuk program itu, dia dan adiknya pun tidak mendedahkan hubungan pertalian darah dengan pelawak dan pelakon popular era 1980-an itu.

"Sebenarnya, kalau boleh kami tak mahu orang tahu latar belakang keluarga kerana enggan dikatakan menumpang nama arwah bapa dan didakwa terpilih pun disebabkan arwah sangat dikenali ramai.

"Bagaimanapun, kami sedar tidak mampu terus menghindarinya daripada pengetahuan umum kerana adik saya, Hafizul sangat seiras dengan arwah bapa, apatah lagi bila dia bertutur," katanya ditemui pada sidang media program itu, hari ini.

Hazwan berkata, apabila identiti mereka sudah terdedah, secara tidak langsung dirasakan tanggungjawab digalas mereka dalam pertandingan itu sangat besar, terutama menjadi perhatian penonton dan netizen.

"Kami masuk dalam pertandingan ini untuk serlahkan bakat seni yang diwarisi daripada arwah ayah dan mahu meneruskan legasi yang ditinggalkannya. Malah, ibu pun memberi restu dan menyokong pembabitan kami. Cuma, pinta ibu agar kami tahu membawa diri dan menjaga nama baik Allahyarham. Ini kerana, arwah pun tidak pernah menghalang anak-anak mengikut jejak langkahnya dalam bidang seni," katanya lagi.

Bagi yang Hafizul juga anak keempat dalam keluarga, Allahyarham bapanya memang tahu minatnya dalam bidang seni sejak kecil.

Cuma ketika Allahyarham masih hidup, dia enggan mencuba nasib menyertai sebarang pertandingan.

"Di antara saya dan abang, arwah ayah memang tahu saya yang lebih berminat untuk mengikut jejak langkahnya. Arwah pun tidak menghalang, tapi dia ingatkan saya supaya tahu membawa diri, tidak terkena kejutan budaya, hormati semua orang, merendah diri dan paling utama tidak tinggal solat," katanya.

Terdahulu, apa yang menguatkan andaian awal pihak media mengenai identiti mereka berdua adalah anak Mr Os apabila Hafizul menyanyikan lagu Durian Dah Berbunga (Deghoyan Dah Berbunge), vokalnya saling tak tumpah seperti Mr Os.

Ia diperkuatkan lagi dengan nama bapa mereka ialah Mohd Yusof.

Mr Os yang begitu popular pada 1980-an sebagai pelakon, pelawak dan penyanyi meninggal dunia di Hospital Selayang pada 8 April 2016 ketika berusia 55 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 8:54 PM