BENJO, Sobat akur gagal teruskan persaingan di minggu kedua pentas MLS 3.
BENJO, Sobat akur gagal teruskan persaingan di minggu kedua pentas MLS 3.
Norhayati Nordin


ADAT pertandingan, memang tak boleh elak dari menang atau kalah. Dalam erti kata lain juga, semuanya tetap bergantung pada rezeki Allah SWT. Namun, yang pasti sudah melakukan yang terbaik.

Bagi persaingan minggu kedua program Muzikal Lawak Superstar (MLS) 3 yang berlangsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu, dua kumpulan disingkir serentak.

Pentas lawak masa kini agak mencabar. Rentetan beberapa isu sensitif yang berlaku, secara tak langsung dapat dilihat kumpulan pelawak sangat berhati-hati dalam 'content' persembahan.

Apa pun, persembahan dibuat masih menarik. Namun, 'effort' yang perlu diberikan kumpulan peserta perlu lebih tinggi. Namun, kerja 'melawak' untuk menghiburkan penonton tidak mudah.

Pentas MLS 3 baru-baru ini nampaknya tidak berpihak buat kumpulan Sobat dan kumpulan Benjo untuk kekal bertahan dalam persaingan minggu seterusnya apabila mereka tersingkir.

Kumpulan Benjo dianggotai Noxx Hazwan, Filzah Azmi dan Kinjo hanya mampu berpuas hati dengan markah keseluruhan sebanyak 25.28 peratus, sekali gus 'reda' persaingan sudah ternoktah.

Noxx Hazwan berkata, dia bersama dua rakan pasukannya tidak menyangka mereka tersingkir awal. Jelasnya, mampu bertahan dalam dua persaingan, ia keputusan menyedihkan. Tapi, begini jalan takdirnya.

"Perasaan kecewa memang ada sedikit. Lebih-lebih lagi, sahabat saya dari Jepun, Kinjo yang amat meminati komedi dan ini kali pertama dia menimba pengalaman menyertai pentas gah MLS 3.

KUMPULAN OOD raih markah tertinggi 58.90 peratus.
KUMPULAN OOD raih markah tertinggi 58.90 peratus.

"Kinjo, seorang Youtuber yang mempunyai 'channel' Wasabi Laksa. Pemilihan dia untuk bersama Benjo kerana kami nak mencuba satu gabungan baharu. Namun, cabaran besarnya kekangan memahami bahasa.

"Dari segi bakat komedi, saya pasti Kinjo memilikinya. Cuma, apa yang masih kurang ialah dia tidak fasih Bahasa Melayu dan ambil masa untuk faham setiap idea yang kami bahas dan bincangkan. Tapi, dia (Kinjo) sangat berusaha," katanya.

Melihat positif pada kegagalan berlaku, Noxx Hazwan menjelaskan dia akan terus berusaha mencari peluang untuk Benjo terus mengembangkan bakat komedi mereka. Katanya, mungkin mereka akan bergabung dengan Kinjo membuat 'content' komedi di Youtube.

Kumpulan Sobat pula dianggotai Che Mat, Najua P Ramlee dan DD Chronicle yang turut tersingkir daripada MLS 3 akur dengan nasib mereka. Bagi Sobat, mereka sudah menjalankan tugasan sebaik mungkin.

"Kami kena terima dengan hati terbuka. Keputusan muktamad sudah dibuat dan Sobat juga tersingkir. Apa pun, kami sudah sedaya upaya mencuba," katanya akur Sobat meraih markah keseluruhan 24.79 peratus.

Selain Benjo dan Sobat, MLS 3 turut dibarisi kumpulan OOD yang dianggotai Man Raja Lawak, Chiwan dan Zahid mendapat markah mingguan tertinggi iaitu 58.90 peratus. Kedua kumpulan Ubi diwakili Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie dengan 44.55 peratus.

Diikuti Abioso dianggotai Sarip, Amin dan Puspa Gomen 38.79 peratus. Bahroy diterajui Nizam Jentik Jentik, Shashic Iewan dan Roy Azman (35.77 peratus), Cili iaitu Ali Puteh, Achey dan Shiha Zikir (35.60 peratus).

KUMPULAN Ubi tak kurang hebat beri saingan.
KUMPULAN Ubi tak kurang hebat beri saingan.

Empat lagi kumpulam 'terselamat' ialah Ngam dianggotai Achok Chilok, Wan Wala dan Aya Amiruddin 32.64 peratus, kumpulan Arteh diwakili Has, Dewa dan Qody (30.22 peratus), kumpulan Wisel diterajui Wan Gegau, Salman Al-Farisi dan Iskandar Norazman (28.40 peratus) serta kumpulan Selit dibarisi Ajo, Azmir Aziz dan Shidi Data (25.97 peratus).

MLS 3 yang menyediakan hadiah lumayan berupa wang tunai RM150,000 untuk juara, naib juara (RM75,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM25,000). Dihoskan pelakon Sharnaaz Ahmad dan Elly Mazlein selain membabitkan juri profesional iaitu Datuk Awie, pelakon Siti Saleha dan pengacara dari Singapura, Najib Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 6:20 AM