Syafil Syazwan Jefri


PENGHASILAN lagu sempena Aidilfitri ada kalanya menjadi dan ada ketikanya, tidak ada rezeki untuk melonjak atau diterima peminat.

Namun begitu, itu tidak pernah mematahkan semangat penyanyi legenda, Ramlah Ram yang cukup dikenali dengan vokal mantap dan nada tinggi suaranya.

"Tahun lepas, saya ada keluarkan lagu Aidilfitri berjudul Kemenangan. Namun, tahun lalu, sambutannya tidaklah terlalu memberangsangkan.

"Jadi, tahun ini, saya teruskan lagi mempromosikan lagu itu dan baru sahaja menyiapkan video muzik lagu Kemenangan itu," katanya.

Menurutnya, sekiranya lagu Aidilfitri nyanyiannya diterima dengan baik, itu menjadi rezeki buatnya.

"Lagu Aidilfitri ini, tak rugi pun kalau dihasilkan. Kalau hit dan diterima ramai, itu menjadi bonus. Kalau sebaliknya, itu bermakna bukan rezeki kita," katanya.

Berkongsi mengenai genre yang sesuai dan kena dengan jiwanya setiap kali melantunkan lagu Aidilfitri, Ramlah kekal selesa dengan runut tradisional.

"Lagu bercorak tradisional sentiasa menyentuh jiwa saya. Ia membawa saya mengimbau kenangan Aidilfitri dan akan sentiasa kekal dalam ingatan," katanya.

Bercerita mengenai persiapan Aidilfitri pada tahun ini, Ramlah seperti biasa akan pulang ke kampung halamannya di Kluang, Johor.

"Selepas dua tahun kita tidak meraikan Aidilfitri dengan kelonggaran, tahun ini, kita diberi peluang untuk meraikannya bersama keluarga dan pulang ke kampung halaman.

"Saya seperti biasa akan pulang ke kampung di Kluang. Memang tahun ini akan berkumpul beramai-ramai bersama sanak-saudara dan saya pasti, semua orang rasa teruja," katanya.

Selain itu, Ramlah juga turut berkongsi mengenai jadual kerjanya yang padat.

"Ada beberapa program sempena Aidilfitri membabitkan saya. Pendek kata, jadual kerja saya juga agak padat pada tahun ini. Selepas selesai beraya, saya akan sambung bekerja," katanya.

Terbaharu, Ramlah juga akan turut terbabit sama dalam acara Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang bakal berlangsung pada 4 Jun 2022 di Bangi Resort Hotel, menggabungkan barisan artis legenda seperti Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza dan Rahmad Mega.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 6:30 AM