Anna Aljuffrey
Anna Aljuffrey
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyampai Suria FM, Anna Aljuffrey, 30, meluahkan perasaan teruja dan gembira diberi kepercayaan mengendalikan program popular Suria Cinta menggantikan tempat DJ Lin yang bercuti baru-baru ini.

Anna yang memulakan tugas di Suria FM pada 19 Mac lalu berkata, dia terkejut apabila mendapat peluang keemasan itu.

"Mulanya DJ Lin selaku Pengurus Besar Suria FM yang juga pengendali Suria Cinta tanya saya 'available' tak untuk gantikan tempatnya pada tarikh dia bercuti.

"Ketika itu pun saya dah sangat teruja. Macam tak percaya DJ Lin beri kepercayaan itu sebab saya masih baru tak sampai sebulan lagi bersama Suria FM.

"Daripada jadi peminat dan pendengar Suria FM, dapat menggantikan DJ Lin yang bercuti adalah satu perkara besar dalam hidup saya. Kiranya 'achievement unlock' buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Anna yang diberikan tanggungjawab sebagai penyampai radio hujung minggu Suria FM, menggantikan DJ Lin yang pulang ke Johor Bahru untuk berpuasa bersama ibunya pada Jumaat dan Ahad lalu.

"Insya-Allah saya bersedia mengendalikan Suria Cinta lagi jika diberi peluang. Selepas ini DJ Lin tak perlu lagi risau kalau tak dapat bertugas kerana saya kan ada," guraunya.

Anna berkata, dia mulanya risau memikirkan sambutan pendengar memandangkan Suria Cinta mempunyai peminat setia.

"Macam-macam saya fikir macam mana agaknya respon pendengar program ini. Tapi alhamdulillah semuanya beri respon yang baik dan komen yang membina.

"Mereka kata suara saya sesuai dengan program tengah malam begini. Tidak kurang yang kata pandai DJ Lin cari pengganti lah, mentor mentee yang tepatlah dan macam-macam lagi komen buat saya terharu.

"Memang rasa puas bila baca komen-komen pendengar Suria FM terutamanya Suria Cinta walaupun esoknya saya bersengkang mata kendalikan Suria Pagi Show bersama Anna J pula pada jam 6 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 4:43 PM