Kai Hassan
Kai Hassan
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Bekas penyampai radio Molek FM, Kai Hassan, 28, dipilih sebagai anggota keluarga baharu stesen radio Suria FM dan mula berkhidmat hari ini, sekali gus menggantikan pelawak, Shuib.

Terdahulu, Shuib yang berkhidmat selama setahun tiga bulan bersama Suria FM sebelum ini menerusi segmen Morning Morning Suria mengumumkan pengundurannya pada minggu lalu.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, pihaknya yakin pemilihan Kai sebagai penyampai baharu di Suria FM bakal membawa impak positif kepada pendengar setia mereka.

"Kai akan diberikan pendedahan serta pengalaman untuk mengendalikan semua segmen utama di Suria FM termasuk Morning Morning Suria, Gaya Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.

"Diharapkan dengan kemasukan Kai sebagai antara tunggak utama barisan penyampai Suria FM akan membawa impak lebih baik dan positif dalam mengukuhkan lagi pasukan kami pada tahun depan," katanya dalam satu kenyataan media.

Pada masa sama, DJ Lin turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kesudian Kai yang mahu bergabung menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM sekali gus berharap perubahan ini mampu meningkatkan lagi kualiti stesen radio itu.

Kai Hassan atau nama sebenarnya, Abdul Karim Hassan memulakan kerjaya penyampai radio di beberapa stesen seperti Manis FM, diikuti Best FM dan terakhir, Molek FM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 12:57 PM