BABY SHima
BABY SHima
Zaara Talita


Kangar: Penyanyi Baby Shima kecewa dengan sikap seorang lelaki yang bersikap kasar dan menengkingnya ketika dia memenuhi undangan nyanyian di sebuah program anjuran kerajaan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.

Penyanyi yang popular dengan lagu Kopi Dangdut ini berkata, dia tidak minta dilayan seperti orang kenamaan tetapi menitik beratkan adab sebagai manusia.

Menerusi perkongsian di media sosial, Shima mendakwa lelaki terbabit cuba menyekat dan menghalaunya ketika memenuhi undangan nyanyian di acara itu.

"Kepada abang baju putih berkaca mata, saya datang 'event' di Perlis untuk membuat persembahan, sepatutnya saya kena 'ready' di 'booth' dan belakang pentas lebih awal, hidup tu biar beradab.

"Saya ni kalau orang baik saya hormat, tapi orang cari pasal saya tak akan diam! Bukan saya saja, sebab awak kerja orang lain tergendala!

"Ramai saksi kat sana, awak tolak pintu tu tadi dengan kasar dan tengking saya! Nampak cara awak macam mana! Cakap baik-baik nak masuk tapi tunjuk lagak!" tulisnya.

Menerusi perkongsian yang sama, Shima menegur cara dan sikap kurang adab dan berharap situasi seperti itu tidak berulang lagi.

"Dalam hidup ini, orang ada pangkat atau tidak, adab kena jaga. Saya tak harap layanan VIP (orang kenamaan). Saya datang untuk bekerja dan menjalankan tugas yang sudah dipersetujui.

"Saya bukan suka-suka nak masuk dewan tu, tapi semua atas tuntutan kerja. Saya harap, kejadian seperti ini tak berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 9:03 PM