Amelia Henderson
Amelia Henderson
Norhayati Nordin

 

Petaling Jaya: Pelakon Amelia Henderson, 26, sehingga kini masih lagi tidak memikirkan 'calon pengganti baharu' sebagai teman hidupnya selepas rumah tangga dibina ketika berusia 19 tahun berakhir pada 2018 lalu.

Terdahulu, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thriputra Henderson pernah bertemu jodoh dengan bekas suami, Tunku Datuk Harunnarasheed Putra Tunku Anuar pada 2015 lalu, sebelum mengumumkan perpisahan mereka, tiga tahun kemudian.

Amelia ketika ditemui berkata, dia bukan tidak mahu mencari pengganti, tetapi akur rezekinya ke arah jodoh baharu buat masa ini belum ada lagi dan menyifatkan ia bukan di bawah kawalannya.

"Pengganti untuk teman hidup? Saya rasa masih boleh temankan diri sendiri lagi sejauh mana yang boleh. Saya pun ada pasukan dan keluarga yang sangat kuat. Jadi, saya tak pernah fikir pun soal jodoh.

"Saya juga tiada masa nak fikir kerana seorang yang 'workaholic'. Kini, saya kena pentingkan apa yang ada dalam kerjaya saya dulu dan saya pun tak boleh nak rancang (jodoh) kalau calonnya memang tak ada," katanya kepada Harian Metro.

Amelia juga tidak menafikan ada individu cuba mendekatinya, namun pelakon jelita dan seksi yang melonjak dengan drama Kisah Cinta Kita di TV3 ini mengakui jadual kerjanya agak padat dan begitu sibuk.

Dalam masa sama, Amelia juga pernah terpalit gosip cinta dengan heronya dalam drama terbabit iaitu pelakon Aedy Ashraf.

"Benda ini (gosip) tak pernah ganggu kehidupan harian saya. Malah, di antara saya dengan Aedy, kami memang rapat dan tak pernah ada masalah pun. Kami juga sekarang ada beberapa projek lakonan bersama," katanya pada majlis tayangan perdana program-program istimewa sempena Ramadan Awesome TV dan kolaborasi amal tanggungjawab sosial korporat bersama Koperasi Amal Pelaburan Berhad (KAPD).

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 11:35 AM