Pelakon, Amelia Henderson dan Aedy Ashraf pada Majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini bersama anak yatim. FOTO Hazreen Mohamad
Pelakon, Amelia Henderson dan Aedy Ashraf pada Majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini bersama anak yatim. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Hubungan pelakon Aedy Ashraf, 30, dan Amelia Henderson, 28, kembali bertaut apabila mereka terbuka keluar bersama sejak baru-baru ini.

Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi tidak menafikan pelakon filem Pulau itu wanita paling istimewa di hatinya sekarang dan ingin jalin hubungan serius.

"Amelia sangat-sangat baik, kami pun sangat rapat dan sudah kenal lebih dua tahun. Saya tak tahu dia, tapi saya sangat serius mengenai hubungan ini.

"Ya sangat selesa. Sebelum ini pun kami pernah jadi teman istimewa dan senang cerita, kami kembali bersamalah," katanya sewaktu ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Rizman Ruzaini, di sebuah hotel, di sini, semalam.

Aedy bagaimanapun enggan sesiapa meletakkan harapan terhadap masa depan hubungan mereka terutama peminat. Apapun, dia yakin hubungan mereka kini ke arah yang cerah.

"Saya tak nak buat sesuatu kerana mereka (peminat). Hal ini jadi sebab kami betul-betul mengenali sesama sendiri dengan cara yang betullah.

"Tapi tak salah pun untuk mereka berharap dan kalau tak jadi, jangan sedih atau apalah. Kami buat yang terbaiklah untuk diri kami masing-masing," katanya.

Sementara itu, Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson pula berdoa hubungan mereka akan sentiasa berkekalan biar sebagai rakan karib sekalipun.

"Saya memang akan sentiasa menjadi peminat terbesar Aedy. Saya harap apa-apapun, kami akan kekalkan hubungan antara kami selama-lamanya.

"Ini kerana, dia sentiasa ada untuk saya, begitu juga saya untuk dia. Terus-terang, itupun sudah cukup untuk kita harapkan daripada kawan-kawan yang kita ada," katanya.

Terdahulu, pada 27 Mac tahun lalu, kecoh dalam media sosial apabila tular video memaparkan Aedy melutut melamar Amelia sebagai kekasih hatinya di sebuah acara festival makanan.

Bagaimanapun, pada Julai tahun lalu, Aedy memuat naik ciapan berbaur patah hati di Twitter sekali gus mengundang spekulasi ramai dia dan Amelia sudah berpisah.

Mereka dikatakan mula rapat selepas digandingkan sebagai hero serta heroin dalam drama berjudul Kisah Cinta Kita yang ditayangkan November 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 12:12 PM